SIGNING PARTY AUTHORITY

Soalan:-

Sebelum memasuki sesebuah perjanjian, adakah perlu bagi pihak-pihak untuk menyemak atau mengambil tahu tentang kelayakan pihak kedua yang akan menandatangani perjanjian, sekiranya individu tersebut dikatakan adalah wakil kepada syarikat, pertubuhan atau sebarang representasi?

Jawapan:-

YA! Anda perlu pastikan pihak kedua yang dikatakan menjadi wakil syarikat, pertubuhan atau sebarang representasi adalah layak dan mempunyai kuasa untuk menurunkan tandatangan pada perjanjian yang ingin dimetrai. Jika tidak, anda mungkin akan menghadapi situasi seperti kes di bawah ini:

Teratai Sanjung Holdings (M) Sdn Bhd lwn Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan [2021] 4 MLJ 113, Mahkamah Rayuan Putrajaya

Teratai Sanjung Holdings telah dilantik sebagai pembekal dan memasuki satu perjanjian (‘Perjanjian tersebut’) yang dikatakan dimasuki dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkenaan bekalan lembu hidup dan karkas lembu untuk pasaran tempatan di Malaysia dan lain-lain negara dengan nilai transaksi anggaran RM5 juta. Perjanjian tersebut berkuatkuasa selama 5 tahun mulai 1 November 2014.

FAMA kemudian dikatakan telah memungkiri Perjanjian tersebut apabila menafikan sebarang kewajiban dan liabiliti mereka atas alasan Perjanjian tersebut tidak mengikat, tidak sah dan terbatal. Teratai Holdings kemudian telah menamatkan Perjanjian tersebut setelah FAMA gagal bertanggungjawab atas kemungkiran Perjanjian tersebut.  

Teratai Sanjung Holdings telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap FAMA di atas kehilangan keuntungan sebanyak RM1,652,640,238.72. Namun, tuntutan ini telah ditolak dan Teratai Sanjung Holdings membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dalam kes ini, individu yang telah menandatangani Perjanjian tersebut dengan Teratai Sanjung Holdings adalah seorang Pengarah Ternakan dan Akuakultur FAMA (‘Individu tersebut’) yang sebenarnya tidak mempunyai mandat atau kuasa untuk berbuat demikian berdasarkan Akta FAMA. Berdasarkan keterangan, tiada mana-mana wakil FAMA kecuali Individu tersebut yang pernah berbincang dengan Teratai Sanjung Holdings berkenaan urusan lantikan dan Perjanjian tersebut.

FAMA adalah sebuah badan berkanun dan apabila sesebuah badan berkanun terikat dengan peraturan dan tatacara undang-undang penubuhan, maka perkara tersebut yang menjadi kewajiban hendaklah dipatuhi sebelum sesuatu kontrak dapat disahkan dan dikuatkuasakan.

Mahkamah berpendapat bahawa Teratai Sanjung Holding sepatutnya membuat carian maklumat dan memastikan samada Perjanjian tersebut mematuhi Akta FAMA termasuk perkara berkaitan kelayakan Individu tersebut untuk menandatangani Perjanjian tersebut memandangkan jumlah transaksi kewangan yang terlibat adalah sangat besar.

Rayuan ini kemudian telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan.

Oleh itu, sebelum menandatangani sesebuah perjanjian, pastikan anda mengetahui adakah pihak kedua yang menjadi wakil untuk tandatangan perjanjian tersebut sememangnya mempunyai kuasa dan layak untuk mewakili dan seterusnya menandatangani perjanjian dengan anda.

Sekian, Liyana the Lawyer.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *