Sharing :

ISTERI SAMAN MALU BEKAS SUAMI DAN MENANG RM150,000

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

KES: 

TEMPAT: MAHKAMAH SESYEN DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA, KES SAMAN NO: 53-534-2010-S3  

ANTARA: A (PLAINTIF) DAN R (DEFENDAN) 

PERMULAAN 

Ini merupakan satu tuntutan saman malu yang difailkan oleh Plaintif terhadap Defendan yang merupakan bekas suaminya berkaitan dengan satu surat yang didakwa oleh Plaintif berbaur fitnah, tohmahan, tuduhan dan kenyataan palsu terhadap Plaintif yang telah disebarkan kepada pihak ketiga.  

Akibat daripada penyebaran surat tersebut, Plaintif mendakwa bahawa beliau telah mengalami malu, aib dan tekanan perasaan yang melampau dan menuntut gantirugi am dan pampasan sebanyak RM100,000 serta gantirugi teladan dan gantirugi teruk terhadap Defendan. 

ISU-ISU 

Ada 4 isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah iaitu:- 

(1)Adakah ini merupakan suatu fitnah (libel)?  

(2)Adakah perkataan fitnah itu merujuk kepada Plaintif? 

(3)Adakah fitnah itu dikeluarkan dan disebarkan oleh Defendan?  

(4)Jika tuntutan Plaintif berjaya, apakah jumlah kuantum yang 

munasabah 

BEBAN PEMBUKTIAN KE ATAS PLAINTIF 

Adalah undang-undang yang matan bahawa dalam apa-apa tindakan mengenai fitnah, beban bukti adalah terletak ke atas Plaintif bahawa perkara-perkara yang diadukan adalah: 

  1. Sama ada pernyataan-pernyataan mengandungi unsur-unsur fitnah; 

  1. Telah diterbitkan kepada pihak ketiga (penerbitan); 

  1. Penyataan-penyataan fitnah ditujukan kepada Plaintif. 

Ketiga-tiga elemen penting ini mesti dibuktikan oleh Plaintif untuk berjaya di dalam tuntutannya. 

Mahkamah telah meneliti secara keseluruhan kandungan surat fitnah tersebut. Mahkamah berpuashati bahawa kandungan surat tersebut memang sebenarnya mengandungi unsur-unsur fitnah dimana kesannya adalah untuk merendahkan reputasi dan martabat sesiapa sahaja yang ditujukannya iaitu Plaintif di dalam kes ini. 

Mahkamah mendapati, kesan daripada penyataan-penyataan Defendan tersebut telah merendahkan reputasi dalam pandangan anak-anak beliau dan keluarga adik beradik Defendan. 

Berdasarkan pertimbangan-pertimbangan di atas, Mahkamah berpuashati dan memutuskan bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Defendan.  

KEPUTUSAN  

Hakim dalam kes ini mengawadkan gantirugi am dan pampasan berjumlah RM100,000 dan juga gantirugi teladan dan gantirugi teruk kepada Plaintif sebanyak RM50,000.00  

Hakim juga membenarkan faedah pada kadar 6% setahun dari tarikh 6/8/2009 sehingga saman dan penyata tuntutan didaftarkan, dan faedah pada kadar 8% setahun dari tarikh saman dan penyata tuntutan diserahkan sehingga penyelesaian penuh  

Kesimpulannya, jangan main-main ya dalam nak menyebarkan fitnah atau mahu memviralkan sesuatu di laman media sosial dengan niat unutk menjatuhkan maruah sesorang tanpa justifikasi yang wajar. Nanti teruk jadinya. 

Sekian, perkongsian dari saya, 

-Liyana The Lawyer