Sharing :

Penipuan Dalam Jual Beli Di Web E-Commerce

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Adakah anda boleh saman jika anda membeli pakej pelancongan online namun ditipu disebabkan agensi pelancongan tersebut tidak menguruskan penerbangan dan penginapan? 

 

Perkongsian kes pada hari ini di antara Groupon Sdn Bhd lawan Tribunal Tuntutan Pengguna & Satu lagi. Dalam kes ini, pengguna Groupon dalam kes ini iaitu Chong telah membeli pakej pelancongan menggunakan Baucer Groupon dan membayar sebanyak RM999 untuk pakej tersebut. 

 

Sebanyak RM450 juga telah dibayar kepada Travel Pavilion Sdn Bhd untuk urusan penerbangan dan penginapan sebagaimana yang diarahkan oleh Groupon di dalam Baucer Groupon tersebut. Namun, Travel Pavilion gagal membekalkan perkhidmatan untuk pakej tersebut dan Groupon hanya mengembalikan wang sebanyak RM999 kepada Chong dan tidak memulangkan bayaran RM450 seperti yang tertera dalam Baucer Groupon.  

 

Chong kemudian membuat aduan kepada Tribunal Pengguna yang membuat keputusan memihak kepada Chong dimana Groupon dikehendaki membayar kembali jumlah RM450 tersebut kepada Chong.  

 

Groupon pula menegaskan bahawa Tribunal Pengguna telah terkhilaf kerana gagal mempertimbangkan bahawa bayaran RM450 telah dibuat kepada Travel Pavilion Sdn Bhd, yang merupakan satu entiti perniagaan berbeza dan tidak berkaitan dengan Groupon.  

 

Mahkamah menolak hujah tersebut dan berpendapat bahawa Chong telah membeli pakej percutian tersebut melalui ‘Baucer Online’ yang ditawarkan oleh Groupon di laman webnya, maka ikatan kontrak berhubung pakej percutian tersebut adalah di antara Chong dan Groupon.  

 

Travel Pavilion Sdn Bhd tidak mempunyai apa-apa ikatan kontrak dengan Chong walaupun bayaran surcaj RM450 telah dibayar kepada Travel Pavilion. Di dalam kes ini, representasi berhubung pakej percutian dibuat oleh Groupon sebagai ejen kepada Travel Pavilion Sdn Bhd. dan bukannya oleh Travel Pavilion.  

 

Kesimpulannya, mahkamah berpandangan bahawa Tribunal Pengguna tidak terkhilaf dari segi undang-undang apabila mendapati Groupon adalah bertanggungjawab untuk memulangkan RM450 kepada Chong. Permohonan Groupon atas pembelaan ini ditolak dengan kos sebanyak RM5000 kepada Chong.  

 

Sekian, perkongsian kes pada kali ini. Moga anda lebih bijak mengetahui hak anda sebagai pengguna. 

 

Liyana the Lawyer