SLANDER – SAMAN FITNAH
Soalan:-
Keluarga bekas isteri saya malukan saya di khalayak ramai secara terbuka dengan mengatakan hal-hal yang buruk terhadap saya. Mereka cakap saya ni seorang yang tak berguna dan suami yang tak bertanggungjawab.
Boleh saman ke macam ni Puan Liyana?
Jawapannya, BOLEH!
Dalam kes,
HISHAM BIN TAN SRI HALIM V TEH FARIDAH BT AHMAD NORIZAN & ANOR [2021] 10 MLJ 683, (MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR)
Plaintif (Hisham) telah membuat tindakan saman fitnah terhadap Defendan-defendan yang mana Defendan 1 (Teh Faridah) merupakan ibu saudara bekas isteri Plaintif dan Defendan 2 merupakan bekas ibu mertua Plaintif kerana ucapan fitnah yang dikatakan Defendan-defendan terhadap Plaintif.
Kejadian bermula apabila bekas isteri Plaintif membuat laporan polis bahawa anak sulung mereka diserang seksual oleh pemandu yang bekerja dengan keluarga Plaintif dan dikatakan kejadian tersebut terjadi di rumah bapa Plaintif. Plaintif kemudian pergi ke hospital untuk melihat keadaan anaknya.
Di hospital, semasa di dalam wad, Defendan-defendan telah bertindak mengucapkan pernyataan fitnah yang kasar dan menyinggung perasaan iaitu antara lain, bahawa Plaintif telah gagal melindungi anak sulungnya daripada dicabul oleh pemandu. Pada ketika itu, di wad tersebut ada ahli keluarga lain, beberapa staf hospital dan beberapa orang yang lain.
Defendan-defendan membela diri dengan menyatakan ucapan-ucapan yang disebutkan terhadap Plaintif bukanlah berunsur fitnah. Namun Mahkamah mendapati Defendan-defendan telah gagal untuk menyokong pembelaan mereka. Ini adalah kerana kata-kata fitnah yang dipersoal tersebut dibuat dengan niat jahat, yang mana niat jahat mengatasi pembelaan mereka.
Tambahan pula, dakwaan kononnya anak sulungnya dicabul juga tidak dapat dibuktikan dalam perbicaraan. Ini menunjukkan pengataan Defendan-defendan hanyalah kritikan dan tuduhan semata. Defendan-defendan didorong oleh niat buruk yang timbul dari hubungan buruk dan perasan tidak puas hati mereka terhadap Plaintif.
Tuntutan fitnah Plaintif terhadap Defendan-defendan dibenarkan dan memutuskan Defendan-defendan membayar sebanyak RM60,000.00 dan kos sebanyak RM20,000.00 kepada Plaintif.
Selain daripada pernyataan berunsur fitnah yang dimuatnaik dalam mana-mana media sosial atau ruangan yang boleh menjadi suatu kes saman fitnah atau saman malu, ia juga boleh terjadi dalam situasi di mana seseorang itu membuat pernyataan berunsur fitnah secara lisan atau percakapan.
Sekian, Liyana the Lawyer.