KONTRAK RAKAN KONGSI

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Peguam & Penyelamat Anda

Soalan:-

Saya berhasrat untuk join perniagaan kawan saya dan jadi rakan kongsi. Penting ke untuk buat perjanjian atau kontrak rakan kongsi untuk tujuan tu?

Jawapan:-

Perjanjian atau kontrak untuk jadi rakan kongsi dalam sesuatu perniagaan sangat penting! Jika tiada sebarang perjanjian hitam putih, anda mungkin akan menyesal di kemudian hari seperti yang berlaku dalam kes di bawah ini.

Syed Azimuddin bin Syed Kamarudin lwn Ashida bt Abdul Jabar (berniaga sebagai Arienna Enterprise) [2017] 11 MLJ 659, Mahkamah Tinggi Shah Alam

Plaintif (Syed Azimuddin) adalah bapa saudara kepada Defendan (Ashida). Defendan telah meminta bantuan modal perniagaan daripada Plaintif untuk membuka sebuah stesen minyak dan Plaintif telah memberikan modal sebanyak RM425,000. Selama tempoh 2005-2012 Plaintif telah menerima bayaran sebanyak RM1,084,000 daripada Defendan termasuk jumlah sumbangan modal RM425,000.

Defendan kemudian telah menghentikan pembayaran kepada Plaintif mulai Januari 2013 kerana ibu bapa Defendan mengetahui Defendan membuka perniagaan stesen minyak yang selama ini dirahsiakan disebabkan hubungan yang tidak baik antara Defendan dan ibu bapanya. Plaintif kemudian menuntut keuntungan bersih berjumlah RM1,251,425 dan elaun hasil daripada penglibatannya dalam perniagaan Defendan selain bayaran dan gantirugi lain.

Plaintif menegaskan bahawa wujudnya perjanjian lisan antara beliau dan Defendan untuk berkongsi keuntungan dan mengambil elaun bulanan secara samarata hasil dari perniagaan Defendan. Ia dibuat secara lisan bagi merahsiakan daripada pengetahuan ibu bapa Defendan. Namun, Defendan menafikan kewujudan perjanjian lisan tersebut.

Dalam menyokong hak Plaintif menuntut bayaran daripada Defendan, Plaintif menyatakan bahawa dia adalah rakan kongsi dalam perniagaan Defendan kerana telah memantau operasi dan hal ehwal kewangan tetapi Plaintif sebenarnya hanya terlibat pada peringkat awal untuk beberapa bulan sahaja dan kemudian langsung tidak terlibat.

Mahkamah memutuskan bahawa tiada perjanjian lisan yang wujud antara Plaintif dan Defendan untuk berkongsi keuntungan perniagaan dan elaun bulanan secara samarata. Defendan juga tidak menepati definisi peruntukan undang-undang sebagai rakan kongsi dalam perniagaan tersebut. Mahkamah tidak boleh menerima jumlah RM1,251,425 sebagai anggaran kasar tanpa sebarang bukti yang menyokong tuntutan Plaintif dalam membenarkan tuntutan.

Mahkamah menolak tuntutan Plaintif dan kos ditanggung pihak-pihak.

Maka, sudah terang lagi bersuluh anda perlu memastikan adanya perjanjian atau kontrak bertulis untuk jadi rakan kongsi. Bukan sahaja untuk tujuan tu, malah untuk apa-apa jenis persetujuan sekalipun. Walaupun perjanjian secara lisan boleh terpakai, namun pembuktikan secara dokumen bertulis adalah lebih baik. Berdasarkan kes yang dikongsikan di atas, pastikan juga anda memang bertindak sebagai seorang rakan kongsi untuk memastikan anda berhak ke atas keuntungan bersih, elaun dan bayaran lain.

Belajar ilmu baru? Kongsi perkongsian ini dengan rakan-rakan perniagaan anda!

Sekian, Liyana the Lawyer.

DO YOU NEED A LEGAL ADVICE?

Your Lawyer & Rescuer

Contact us to set up an appointment with our lawyers.
Our lawyers are always ready to assist you.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *