MAHKAMAH V TRIBUNAL

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Peguam & Penyelamat Anda

Mahkamah dan Tribunal? Anda tahu beza kedua-dua ini? Jom baca perkongsian perundangan ini!

Selalu kita dengar kebanyakan kes-kes dibawa dan dibicarakan mengikut bidang kuasa mahkamah. Tahukah anda, Tribunal adalah sebuah institusi separa kehakiman yang juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar beberapa jenis tuntutan dan merupakan satu laluan kehakiman alternatif kepada mahkamah.

  1. Bidang Kuasa

Mahkamah mempunyai bidang kuasa yang luas mengikut hierarki masing-masing iaitu Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret (Mahkamah Bawahan), Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Atasan) bagi kes-kes sivil dan jenayah. Terdapat juga Mahkamah khas antaranya seperti Mahkamah Khas Raja-raja, Mahkamah Kanak-kanak, Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Tentera. Manakala bagi kes-kes syariah adalah mengikut bidang kuasa hierarkinya iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Tribunal mempunyai bidang kuasa terhad mengikut setiap institusi Tribunal yang wujud di Malaysia antaranya seperti Tribunal Tuntutan Pengguna, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Tribunal Rayuan Kastam, Tribunal Hakcipta dan Tribunal Perkahwinan. Setiap Tribunal tersebut adalah berbeza peranannya bergantung kepada bidang kuasa.

  • Penglibatan Peguam

Mahkamah memerlukan pihak-pihak diwakili oleh peguam dalam membawa tuntutan ke muka pengadilan bagi memastikan hak kepentingan pihak-pihak dapat ditegakkan dan peguam perlu hadir pada setiap tarikh yang ditetapkan. Pihak-pihak juga boleh memilih untuk mewakili diri sendiri namun akan terjadi kesukaran jika tidak mempunyai kepakaran dalam ilmu perundangan.

Penglibatan peguam adalah berbeza mengikut setiap Tribunal. Terdapat Tribunal yang membenarkan pihak-pihak diwakili peguam dan sebaliknya bergantung kepada keperluan dan kerumitan kes.

  • Pemfailan Tuntutan

Sebarang tuntutan yang ingin dimulakan melalui tindakan Mahkamah hendaklah dibuat di Mahkamah mengikut bidang kuasa berkaitan dan kebiasaannya adalah melalui lantikan peguam yang mana peguam akan menguruskan segala tindakan daripada mula sehingga akhir kes.

Tuntutan di Tribunal perlu dibuat di setiap agensi Tribunal yang terlibat mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Pihak yang ingin membuat tuntutan perlu mendapatkan dan mengisi borang-borang berkenaan atau apa-apa prosedur berkaitan serta menguruskan segala tindakan secara sendiri jika Tribunal tidak membenarkan untuk diwakili peguam.

  • Prosedur Perbicaraan

Mahkamah mempunyai kod prosedur yang ketat, formal dan perlu dipatuhi pihak-pihak dan peguam yang terlibat sepanjang kes berjalan.

Tribunal adalah lebih santai prosedurnya dan tidak begitu formal seperti Mahkamah.

  • Panel Penghakiman dan Keputusan

Mahkamah diketuai oleh hakim atau majistret mengikut jenis Mahkamah dalam mengawal prosedur perbicaraan dan memberikan penghakiman. Suatu keputusan Mahkamah adalah dirujuk sebagai penghakiman, sabitan atau pembebasan.

Tribunal mempunyai panel yang terdiri daripada pengerusi dan ahli-ahli lain yang mahir dalam sesuatu bidang mengikut jenis Tribunal yang dilantik oleh setiap agensi. Suatu keputusan Tribunal adalah dirujuk sebagai ‘award’.

  • Kos dan Masa

Tuntutan melalui Mahkamah memerlukan kos tinggi kerana terdapat pelbagai bayaran yang ditetapkan oleh pihak Mahkamah sendiri dan bayaran peguam. Masa untuk sesuatu kes diselesaikan adalah bergantung kepada keperluan dan kerumitan tuntutan yang dibawa.

Tuntutan melalui Tribunal adalah lebih rendah kosnya bergantung kepada pembayaran yang ditetapkan oleh setiap agensi sekiranya tidak melantik peguam. Masa penyelesaian adalah lebih cepat.

  • Tempat Perbicaraan

Perbicaraan di Mahkamah dibuat di Mahkamah berkaitan mengikut bidang kuasa dan lokasi Mahkamah tersebut.

Perbicaraan di Tribunal dibuat di lokasi Tribunal yang telah ditetapkan oleh agensi.

Kedua-dua institusi Mahkamah dan Tribunal mempunyai bidang kuasa dan peranan yang berbeza namun dengan tujuan yang sama iaitu untuk membantu orang ramai dalam sebarang tuntutan yang ingin dibuat bagi mendapatkan hak mereka.

Belajar ilmu baru? Share perkongsian ini dengan rakan-rakan anda!

DO YOU NEED A LEGAL ADVICE?

Your Lawyer & Rescuer

Contact us to set up an appointment with our lawyers.
Our lawyers are always ready to assist you.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *