Anak guam saya datang ke Malaysia dengan satu impian besar. Dia tinggalkan keluarga di tanah air. Dia kumpul duit bertahun-tahun, sanggup berhabis semata-mata untuk daftar dalam program PhD di sebuah universiti swasta yang kononnya gah. Apa yang meyakinkan dia? Janji universiti itu sendiri — bahawa program tersebut sah, diiktiraf, dan boleh membuka pintu masa depan.
Tiga tahun penuh pengorbanan. Bayangkan: malam tanpa tidur, siang penuh dengan penyelidikan, berjauhan dari keluarga, dan kos hidup yang tinggi. Semua itu dia harungi kerana percaya pengorbanan ini akan dibayar dengan sebuah ijazah kedoktoran.
Akhirnya, dia tamatkan pengajian. Sijil PhD ada di tangan. Dia pulang ke China dengan penuh bangga, bawa kejayaan yang dianggap bukti kepada segala penat lelah.
Tapi sebaik sahaja sampai, dunia dia runtuh.
Pihak berkuasa di sana periksa sijil itu — dan keputusannya mengejutkan. Sijil tersebut tidak sah. Tiada akreditasi. Malah dilabel sebagai “ijazah palsu”. Sekelip mata, sijil itu dirampas. Kerjayanya jatuh. Pekerjaan hilang. Nama baik sebagai ahli akademik hancur. Masa depan yang disangka cerah, gelap sekelip mata.
Dia cuba cari jalan keluar. Dia kembali ke Malaysia, berjumpa dengan pihak universiti, menuntut penjelasan. Tapi jawapan yang diberi hanya satu ayat pendek:
“Bukan tanggungjawab kami.”
Bayangkan perasaan itu. Tiga tahun hidup, puluhan ribu ringgit, maruah, masa depan — semuanya hilang. Dan pihak yang beri janji, hanya cuci tangan begitu sahaja.
Dalam undang-undang kontrak, perkara ini jelas. Bila sebuah universiti tawarkan program, walaupun tak disebut secara bertulis, ada implied term — bahawa program itu sah dan diiktiraf. Kalau janji itu gagal dipenuhi, ia dianggap breach of contract.
Kerugian anak guam saya bukan kecil: bertahun masa terbuang, wang hangus, kerjaya musnah, reputasi tercalar. Semua ini adalah “damages” yang boleh dituntut di mahkamah.
Inilah pengajaran besar. Universiti tidak boleh sewenang-wenangnya “menjual” sijil palsu yang dibalut cantik dengan kata-kata manis. Sebab dalam undang-undang, setiap janji — sama ada di brosur, di laman web, atau melalui kata-kata wakil mereka — boleh jadi asas saman bila terbukti pelajar mengalami kerugian.
Kejayaan akademik sepatutnya jadi mercu tanda masa depan. Tapi dalam kes ini, ia bertukar jadi titik hitam dalam hidup seorang insan yang hanya mahu ilmu dan masa depan yang lebih baik.