Sharing :

PEMEGANG SURAT KUASA TADBIR MENYALAHGUNAKAN KUASA SEBAGAI PENTADBIR DAN ANIAYA WARIS LAIN

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Hari ini saya bangun pagi dengan keadaan hujan lebat dan angin sepoi-sepoi bahasa tatkala membuka tingkap dan menjenguk keluar jendela sambal menghirup secangkir kopi Bon Caffe Mocha Latte kegemaran saya.

 

“Ahh~` today is a good day to do legal sharing”

 

terbit di benak saya. Nyaman je rasa udara pagi ni. Happy dan tenang je rasa perasaan di jiwa. Baiklah, jadi pada pagi ini saya sedekahkan ilmu berikut:-

 

Saya sedang membuat satu kes ini di mana anak guam saya merupakan seorang yang berhak dalam permohonan surat kuasa tadbir.

 

Dah lah berhak, kemudian beliau mendapat tahu bahawa surat kuasa tadbir telah dikeluarkan dua tahun dahulu tanpa pengetahuannya.

 

Dan kini, apabila peristiwa ini telah diketahuinya, anak guam kami ini telah melantik kami untuk membatalkan dan memasukkan nama beliau sebagai Pentadbir di dalam Surat Kuasa Tadbir tersebut.

 

Pernah anda dengar peristiwa macam ni? Waris-waris tidak bersetuju dan berselisih fahaman disebabkan harta pusaka peninggalan arwah?

 

Pernahkah pula anda mendengar bahawa pemegang surat kuasa tadbir menyalahgunakan kuasanya sebagai Pentadbir? Mungkin anda pernah.

 

Namun tahukah anda bahawa ada peruntukan di bawah undang-undang kita yang memberi hak kepada waris-waris lain untuk membatalkan geran kuasa tadbir tersebut? Ianya terletak di bahawa Aturan 72 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Akta Probet dan pentadbiran 1959

 

Mari saya kongsikan kes mengenai Pemegang Geran Surat Kuasa Tadbir yang telah menyalahgunakan kuasanya dengan mentadbir harta tersebut secara tidak amanah dan menganiaya hak waris-waris yang lain.

 

Kes ini adalah kes DAMAYANTI KANTILAL DOSHI & ORS v JIGARLAL KANTILAL DOSHI & ORS [1998] 4 MLJ 268. Di dalam kes ini,

 

Wasi harta pusaka si mati tidak mentadbir harta pusaka si mati tersebut dengan betul. Salah satu dari alasan waris-waris lain untuk menentang wasi ini adalah kerana surat kuasa tadbir tidak dikeluarkan walaupun telah tujuh tahun si mati meninggal dunia.

 

Alasan-alasan lain waris-waris selaku Penentang bagi menyokong permohonan mereka, antara lain:-

 

(i) kegagalan untuk mengambil langkah-langkah permulaan dalam pentadbiran harta pusaka tersebut;

 

(ii) kegagalan untuk menyerahkan akaun-akaun atau akaun-akaun berkala;

 

(iii) kegagalan untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah pelupusan aset-aset; dan

 

(iv) sikap teruk wasi kepada waris-waris.

 

Hakim perbicaraan membenarkan permohonan tersebut. Wasi-wasi yang tidak berpuas hati kemudian cuba membuat rayuan. Namun telah Diputuskan, Mahkamah menolak rayuan dengan kos:

 

Hakim yang bijaksana dalam kes ini telah berpendapat bahawa sesungguhnya wasi yang telah diamanahkan dan dilantik untuk mentadbir harta pusaka dalam wasiat si mati sememangnya culas menjalankan tanggungjawab. Mereka gagal mentadbir harta pusaka si mati dengan adil dan saksama kepada semua hak waris-waris yang lain.

 

Jadi sekarang anda dah tahu jika ada pemegang surat kuasa tadbir harta pusaka si mati tidak menjalankan amanah dan tanggungjawabnya dengan betul, boleh dipohon di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan surat kuasa tadbir yang telah diberikan itu.

 

Moga secebis ilmu perkongsian ini membawa manfaat kepada anda semua.

 

Sharing is caring,

Sekian,

Liyana the Lawyer