Sharing :

Kalau Nak Buat Tuntutan Saman Malu Untuk Kes Lama, Boleh Ke?

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Dalam kekecohan nak MCO 3.0, isu vaksin dan kes Nelofa yang tak sudah-sudah, saya mendapat pertanyaan di atas- jika seseorang telah memalukan anda di media sosial dan post serta kata-kata fitnah itu masih ada dalam bentuk penulisan atau video, anda boleh ke bawa kes tersebut kepada pengadilan mahkamah?.  

 

💁🏻‍♀‍Jawapannya adalah YA, anda masih boleh membawa tindakan tersebut jika ianya tidak melebihi enam tahun dari tarikh posting fitnah tersebut dibuat. Ini termaktub di bawah Seksyen 6(1), Akta Had Masa 1953.  

 

Namun begitu, anda kena berhati-hati kerana jika anda membawa tuntutan tersebut lewat, ada kemungkinan pihak yang memfitnah anda tu akan membidas tuntutan anda dan menyatakan bahawa sebenarnya anda takdelah terkesan mana pun dengan posting fitnah tersebut. 

 

Kelewatan membawa tindakan juga boleh menunjukkan bahawa, dakwaan fitnah itu tidak dipandang secara serius ataupun fitnah tersebut tidak langsung merendahkan reputasi anda. 

 

Di dalam ke Syed Husin Ali v Sharikat Penchetakan Urusan Melayu Berhad & Anor [1973] 2 MLJ 56 , Mahkamah telah mendapati bahawa tiada bukti yang menunjukkan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasi Orang Yang Difitnah sebagai pensyarah, malahan Orang Yang Difitnah telahpun dinaikkan pangkat.  

 

Orang Yang Difitnah tidak berjaya memberikan jawapan yang memuaskan kepada Mahkamah atas kelewatan mengambil tindakan, malahan seorang saksi yang penting telah meninggal dunia pada waktu Orang Yang Difitnah mengambil tindakan ke atas Pemfitnah untuk suatu kejadian yang berlaku empat tahun yang lepas. 

 

Mahkamah juga telah mendapati bahawa Orang Yang Difitnah hanya meminta Pemfitnah untuk membuat permohonan maaf selepas empat tahun dan tiga bulan kata-kata fitnah itu diterbitkan.  

 

Selanjutnya, Mahkamah mempertimbangkan faktor kelewatan mengambil tindakan untuk membuat pengurangan ganti rugi jika kelewatan itu telah menyebabkan Pemfitnah sukar untuk membela dirinya apabila bukti-bukti yang relevan tidak lagi boleh diperolehi disebabkan oleh batasan masa. 

 

Di dalam kes Albert Chew v Hong Leong Finance Bhd, Albert Chew v Hong Leong Finance Bhd [2001] 4 MLJ 497 di 509C, Orang Yang Difitnah telah memulakan tindakan dua bulan sebelum tempoh had enam tahun tamat. 

 

Orang Yang Difitnah telah menjelaskan bahawa kelewatan tersebut adalah disebabkan oleh gangguan emosi yang telah dia alami berpunca daripada fitnah tersebut. Mahkamah telah memutuskan bahawa alasan itu tidak mencukupi dan bukan alasan yang sah.  

 

Alasan yang diberikan tidak memuaskan dalam menjelaskan kenapa Orang Yang Difitnah perlu menanggung gangguan emosi tersebut selama hampir enam tahun. Tuntutan plaintif telah diketepikan atas alasan tersebut dan alasan-alasan yang lain. 

 

Di dalam kes Kumarasamy a/l Naciappan v The New Straits Times Press (M) Bhd, Kumarasamy a/l Naciappan v The New Straits Times Press (M) Bhd [2013] 7 MLJ 361, Orang Yang Difitnah telah mengambill tindakan selepas enam bulan kata-kata fitnah itu diterbitkan.  

 

Mahkamah telah mendapati bahawa kelewatan tersebut boleh diterima oleh kerana ianya disebabkan oleh fakta-fakta kes itu sendiri. Namun begitu, di dalam kes-kes yang lain, pihak Mahkamah tidak akan mempertimbangkan kelewatan dalam mengambil tindakan jika ianya melibatkan liabiliti dan kuantum. 

 

👩🏻‍⚖‍✨Kesimpulannya, jika anda tahu bahawa anda telah difitnah dan ingin membawa perkara tersebut ke muka pengadilan, maka adalah lebih baik untuk anda membuat tuntutan tersebut secepat yang mungkin kerana kelewatan Orang Yang Difitnah untuk berbuat demikian akan membuatkan Mahkamah berfikiran bahawa reputasi anda tiadalah terjejas mana pun oleh tindakan Pemfitnah.  

 

Sekian, 

Liyana the Lawyer