Tak tahan dengan sikap jiran anda? Apa yang anda boleh lakukan jika jiran anda menganggu ketenteraman anda?

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Peguam & Penyelamat Anda

Pernah tak anda rasa terganggu sebab jiran selalu pasang muzik kuat-kuat, buang sampah merata dekat halaman rumah anda dan macam-macam lagi?

Tahukah anda? Anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap jiran yang sering menganggu ketenteraman anda!

Anda boleh menyaman jiran anda di bawah undang-undang tort kacau ganggu. Tort kacau ganggu adalah satu cabang undang-undang yang memberikan perlindungan kepada tuanpunya tanah atas penggunaan tanahnya.

Kacau ganggu berlaku apabila suatu tindakan yang tidak munasabah telah menyebabkan ketidakselesaan yang secara khusus telah menganggu keselesaan hidup manusia yang tidak semestinya hanya menganggu tabiat hidup yang mewah malah bentuk dan tabiat hidup biasa dalam kalangan manusia biasa.

Nantikan posting seterusnya untuk tahu mengenai undang-undang tort kacau ganggu dengan lebih lanjut!

Jenis-jenis Kacau Ganggu:

Terdapat dua jenis kacau ganggu:
1) Kacau ganggu awam
2) Kacau ganggu persendirian

Kacau ganggu awam: Terjadi apabila terdapat gangguan ke atas hak-hak awam.

Timbul apabila perbuatan atau aktiviti yang dilakukan Defendan telah menganggu keselesaan orang awam dalam sesebuah komuniti.

Adalah mencukupi untuk menunjukkan bahawa terdapat segolongan orang dari komuniti tersebut telah terkesan daripada perbuatan kacau ganggu itu.

Kacau ganggu persendirian: Gangguan yang tidak munasabah dan substantial yang dilakukan oleh seseorang secara tidak sah ke atas seseorang untuk menikmati tanahnya.

Untuk membuktikan di dalam Mahkamah terdapat kacau ganggu persendirian yang dilakukan oleh Defendan, beban bukti terletak ke atas orang yang membuat tuntutan di mana dia harus memenuhi elemen-elemen seperti berikut:

1) Terdapat gangguan yang substantial terhadap penggunaan tanah seseorang

2) Gangguan tersebut adalah gangguan yang tidak munasabah; dan

3) Gangguan tersebut telah menyebabkan kerosakan material dan harta benda kepada Plaintif

Secara tuntasnya, gangguan tersebut mestilah gangguan yang kerap berlaku dan bukan hanya sekali. Ia mestilah didapati tidak munasabah sehingga tidak dianggap normal daripada perbuatan yang biasa.

Untuk segmen kali ni, kami akan fokuskan topik kacau ganggu persendirian yang sering terjadi di kawasan perjiranan.

Nantikan posting seterusnya untuk tahu contoh-contoh situasi benar kacau ganggu jiran yang membolehkan anda untuk menyaman jiran anda yang menyakitkan hati tu!

Salah satu contoh situasi benar kacau ganggu yang membolehkan anda untuk menyaman jiran anda:

Anda ada tak jiran yang kerap membakar barang sembahyang sehingga menganggu ketenteraman anda?

Membakar barang sembahyang secara kerap dan tetap sehingga menganggu ketenteraman jiran boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah undang-undang tort kacau ganggu tau!

Hal ini telah terjadi di dalam kes

Kes Mengenai Jiran Dari Neraka [2011] MLJU 409

Di dalam kes ini, Defendan telah kerap mmelakukan pembakaran barang penyembahan secara terbuka sehingga menggangu keselesaan dan ketenteraman jiran-jiran.

Pembakaran tersebut telah menyebabkan asap dan abu-abu berterbangan ke kawasan rumah jiran-jiran serta mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Plaintif-plaintif yang merupakan jiran-jiran Defendan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Defendan di bawah undang-undang tort kacau ganggu kerana bau, asap dan debu-debu daripada pembakaran kertas sembahyang Defendan sering bertebaran ke kawasan rumah mereka dan menganggu ketenteraman mereka.

Hakim di dalam kes ini telah memutuskan bahawa perbuatan Defendan telah menyebabkan kacau ganggu kepada jiran-jiran kerana menyebabkan gangguan/ketidakselesaan terhadap mereka dalam menikmati tanahnya secara aman dan secara tidak langsung mengurangkan ‘amenity value’ tanah
mereka.

Seterusnya, contoh situasi benar yang membolehkan anda mengambil tindakan terhadap jiran anda yang menyakitkan hati adalah:

Pernah tak anda menghadapi rasa sakit hati sebab jiran anda selalu ‘parking’ di kawasan rumah anda?

Hal ini telah terjadi di dalam kes:

Kes Mengenai Jiran Dari Neraka [2017] 7 MLJ 548

Di dalam kes ini, plaintif mengemukakan bahawa defendan telah sentiasa meletakkan kenderannya di hadapan atau berdekatan pagar hadapan rumah plaintif, menyebabkan halangan dan kesulitan untuk mereka mengeluarkan dan memasuki kenderaan mereka ke dalam rumah mereka.

Perlakuan yang berterusan defendan itu telah juga menyebabkan distres secara fizikal dan mental plaintif.

Dalam menyokong tuduhan mereka, plaintif bergantung ke atas keterangan rakaman CCTV dan juga gambar kacau ganggu yang dikatakan.

Plaintif pertama juga telah membuat laporan polis terhadap defendan beberapa kali untuk pelbagai sebab, antara lain, bimbang akan keselamatannya apabila defendan memarahinya dan mencabarnya
untuk bergaduh.

Dalam pembelaan, defendan mengemukakan bahawa dia telah memasuki satu perjanjian lisan dengan plaintif di mana, plaintif pertama telah membenarkan dia untuk meletakkan kenderaannya bertentangan dengan rumah plaintif. Defendan seterusnya menafikan bahawa dia telah meletakkan kenderaannya di hadapan rumah plaintif.

Dia selanjutnya menafikan bahawa dia telah menyebabkan halangan dan kesulitan kepada plaintif.

Daripada rakaman CCTV, aliran trafik sepanjang Lorong Sungai Kelian 3 di hadapan rumah plaintif adalah sesak.

Dengan kenderaan defendan diletakkan di tepi jalan, ruang untuk plaintif mengundurkan kenderaan mereka apabila keluar daripada rumah mereka menjadi sempit. Dalam keadaan ini, ia tidak boleh
dipertikaikan bahawa parkir defendan telah menyebabkan keadaan berbahaya.

Selanjutnya, pelakuan defendan meletakkan kenderaannya di tepi jalan bukannya di kompaun rumahnya yang mana lebih selamat adalah tidak munasabah.

Mahkamah di dalam kes ini telah memutuskan bahawa defendan telah melakukan tort kacau ganggu peribadi terhadap plaintif kerana perbuatan defendan meletakkan kereta secara haram dan menyebabkan halangan yang dialami oleh plaintif.

Situasi sebenar yang seterusnya:

Apa anda boleh buat kalau rumah anda mengalami kerosakan disebabkan aktiviti renovasi jiran anda?

Isu ini pernah berlaku dalam kes:

Kes Mengenai Jiran Dari Neraka [2020] 9 MLJ 713

Kes ini merupakan kes rayuan di Mahkamah Tinggi. Plaintif pertama merupakan pemilik berdaftar atas sebidang tanah di Daerah Kuala Muda, Kedah dengan di atasnya dibina sebuah rumah kediaman setingkat.

Defendan-defendan merupakan pemilik berdaftar sebidang tanah di Daerah Kuala Muda, Kedah. Tanah defendan-defendan terletak bersebelahan dengan tanah plaintif pertama. Kedudukan geografi dan landskap tanah defendan-defendan lebih rendah daripada hartanah plaintif pertama.

Pada lebih kurang bulan Mei 2015, plaintif pertama telah mendapati defendan- defendan melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan dan penggalian di kawasan sempadan/tebing tanah defendan-defendan dan hampir sangat dengan hartanah plaintif pertama.

Plaintif pertama telah mengadu perkara tersebut terhadap salah seorang defendan dan/atau wakil mereka. Pada 25 Mei 2015 plaintif pertama telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani berkenaan kerja-kerja tersebut.

Akibat daripada kerja-kerja pembinaan dan pengorekan yang dijalankan oleh defendan-defendan, plaintif-plaintif mendakwa hartanah plaintif pertama mengalami kerosakan. Tanah-tanah di bahagian tebing/sempadan hartanah plaintif pertama dengan tanah defendan-defendan menjadi tidak stablil dan retak.

Sebahagian tanah hartanah plaintif pertama telah runtuh dan bertambah teruk apabila hari hujan. Pagar-pagar yang dibina telah rosak/musnah dan jatuh ke bahagian bawah. Pokok-pokok dan tumbuhan yang ditanam oleh plaintif-plaintif turut rosak dan musnah.

Defendan-defendan telah gagal mengambil langkah-langkah berjaga-jaga semasa menjalankan kerja-kerja pembinaan dengan sengaja dan tidak munasabah telah mengganggu ketenteraman, keamanan dan
keselesaaan plaintif-plaintif.

Pihak Plaintif telah memfailkan pernyataan tuntutan terhadap pihak Defendan akibat kacau ganggu dan kecuaian yang telah menyebabkan kerugian kepada pihak Plaintif.

Defendan-defendan turut memfailkan tuntutan balas terhadap plaintif-plaintif akibat tindakan-tindakan sehingga menyebabkan defendan-defendan mengalami kerosakan dan kerugian.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk membenarkan tuntutan Plaintif dan menolak tuntuan balasan Defendan.

Mahkamah berpendapat mahkamah sesyen gagal menimbangkan keterangan lisan yang diberikan oleh plaintif pertama semasa perbicaraan yang secara jelasnya menyatakan kacau ganggu (nuisance) dan kerosakan yang dialami oleh plaintif-plaintif dan ahli keluarga.

Kawasan tanah bersebelahan tidak pernah berlaku tanah runtuh. Tiada asas untuk menyatakan kawasan tanah plaintif-plaintif lebih stabil dan bagus berbanding sebelumnya.

Sebaliknya kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh defendan-defendan menyebabkan kebimbangan keluarga plaintif-plaintif. Mahkamah ini bersetuju defendan-defendan gagal mengemukakan certificate of completion and compliance atas pembinaan kerja-kerja penahan tembok.

Defendan-defendan seharusnya membayar ganti rugi kepada plaintif-plaintif atas kesusahan dan ketidakselesaan untuk tempoh 1 1/2 tahun.

Mahkamah berpendapat plaintif-plaintif yang berada dalam keadaan tidak selesa dan terancam memilih cara yang betul dengan memohon inter parte injunksi terhadap defendan-defendan.

Defendan-defendan bertanggungan atas kecuaian dan kacau ganggu terhadap plaintif-plaintif setelah menimbangkan kerosakan, ketenteraman dan ketidakselesaan yang dialami oleh plaintif-plaintif.

Keadaan pagar yang roboh sepanjang sempadan tanah plaintif-plaintif berterusan untuk tempoh masa lebih setahun.

Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam plaintif-plaintif yang terpelajar dalam tempoh tersebut, keselamatan plaintif-plaintif terancam apabila pagar yang menjadi pelindung telah rosak akibat perbuatan kacau ganggu defendan-defendan.

Mahkamah berpendapat ganti rugi am berjumlah RM100,000 berpatutan dan munasabah.

Apakah remedi di bawah undang-undang yang anda boleh tuntut di Mahkamah terhadap jiran anda yang menyakitkan hati itu?

Jika perbuatan jiran anda membuatkan keselesaan dan ketenteraman anda terganggu, anda boleh memulakan saman untuk menghentikan gangguan tersebut dan menuntut gantirugi terhadap jiran
anda yang annoying tu.

Antara remedi yang boleh diberikan oleh Mahkamah untuk kes-kes kacau ganggu adalah:-

1) Perintah injunksi untuk menghentikan si pesalah daripada melakukan aktiviti-aktiviti kacau ganggu;

2) Pampasan gantirugi untuk kerosakan yang dialami.

Akan tetapi, kita haruslah tahu bahawa Mahkamah akan menilai dan meneliti fakta-fakta kes untuk memutuskan samada perbuatan defendan itu dikategorikan sebagai kacau ganggu atau tidak.

Anda perlukan jawapan dan jalan penyelesaian dalam tindakan undang-undang? Dapatkan khidmat nasihat guaman dari peguam-peguam kami di Liyana & Co.

Peguam-peguam kami mempunyai 10 tahun pengalaman dalam menyelesaikan masalah perundangan yang kompleks.

“Peguam & Penyelamat Anda”
📞📱 Jom set temujanji dan hubungi kami di talian:

https://wa.me/60123640086

DO YOU NEED A LEGAL ADVICE?

Your Lawyer & Rescuer

Contact us to set up an appointment with our lawyers.
Our lawyers are always ready to assist you.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *