Sharing :

MENANG 250 RIBU KERANA SAMAN MALU DISEBABKAN CEK TENDANG

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Pernahkah anda mendengar tentang ada seorang yang telah mendapat pampasan sebanyak RM250,000 dari MayBank diatas Saman Malu disebabkan cek tendang? 

 

Dalam kes C v MALAYAN BANKING BHD [2008] 7 MLJ 609 , Seorang ahli perniagaan bernama Encik C yang mempunyai akaun semasa (current account) dengan Maybank, telah mengeluarkan sekeping cek tunda untuk pembayaran kepada pihak Ketiga yang bernama Cheong Trading. 

 

Walaubagaimanapun, sebelum cek tersebut matang, Cheong Trading telah secara silap menebus cek tersebut. Pihak Maybank pula telah mengenakan bayaran penalti sebanyak RM100 kepada Encik C disebabkan perkara ini walaupun penalti yang sepatutnya dikenakan hanyalah RM10. 

 

Penalti ini telah menyebabkan satu lagi cek yang dikeluarkan oleh Encik C kepada pihak lain, iaitu AIA Co Ltd juga telah ditolak. Berikutan itu, Encik C diarahkan untuk menutup akaun bank dan telah disenarai hitamkan dalam rekod Bank Negara Malaysia dan dihalang daripada mengendalikan akaun semasa dengan mana-mana Bank di Malaysia. Encik C kemudian telah menyaman Maybank untuk pelanggaran kontrak dan fitnah. 

 

Di sini, Yang Arif hakim Yang Bijaksana telah membenarkan tuntutan Encik C dan telah mengarahkan Maybank membayar pampasan dan gantirugi sebanyak RM250,000.00 . 

 

Alasan penghakiman Hakim adalah:- 

Maybank, di dalam menolak cek pertama tersebut, sepatutnya mencetak di belakang cek tersebut dengan perkataan-perkataan ‘cek tarikh tertunda’ dan bukannya ‘rujuk kepada pengeluar’.  

Berkenaan cek kedua, cek ini tidak sepatutnya ditolak oleh Maybank sama sekali. Komen ‘rujuk kepada pengeluar’ yang salah dan tidak patut pada kedua-dua ceknya pasti telah menyebabkan aib kepada Encik C dan merendahkan kedudukannya dalam pandangan Cheong Trading dan AIA Co Ltd . 

Encik C bukan sahaja mengalami keaiban apabila berurusan dengan Cheong Trading dan AIA Co Ltd, perbuatan defendan juga telah menyebabkan penutupan akaun Encik C dengan Maybank dan juga dengan Akaun Public, dan disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia. Secara praktikalnya semua orang dalam masyarakat moden perlu mempunyai akaun bank — lebih-lebih lagi jika dia seorang peniaga — seperti Encik C. Encik C telah menanggung malu kerana kesilapan Maybank. 

Menarik kes ini bukan? Jangan ingat isu cek tendang ini adalah perkara remeh. Di dalam undang-undang, sekeping cek itu adalah sebuah kontrak dimana pihak Maybank perlu melunaskan tanggungjawabnya dalam memberi amaun yang tertera di atas cek tersebut. Dan kes ini juga telah membenarkan tuntutan saman malu oleh Encik C. 

Sekian, moga artikel saya kali ini membuatkan anda semua lebih bijak undang-undang. 

-Liyana the Lawyer-