Sharing :

COVID ALASAN KONTRAK DIKECEWAKAN

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua, 

Saya pening juga bila ada yang salah sangka bahawa dalam musim COVID-19 ini, terus boleh guna alasan kontrak dikecewakan di bawah seksyen 57(3) Akta Kontrak 1950.  

Antara keadaaan dimana doktrin ini tidak boleh diterima pakai adalah:- 

  1. Perlaksanaan Kontrak Menjadi Lebih Sukar, Mahal atau Terlewat.; dan/atau 

  1. Kekecewaan disebabkan oleh salah sendiri. 

Contoh kes yang saya boleh petik disini yang diputuskan oleh Mahkamah Yang Mulia adalah kes Kin Nam Development Sdn. Bhd. V Khau Daw Yau [1983] 1 MLJ 335. 

Dalam kes ini, sebuah syarikat pemaju perumahan telah menjual lot tapak rumah kepada orang ramai tanpa mendapat kelulusan dari pihak berkuasa kerajaan tempatan. 

Tanah tersebut sebenarnya merupakan tanah pertanian yang ingin ditukar kepada tanah bangunan. Kelulusan terhadap permohonan pertukaran ini masih belum diperoleh semasa ia dijual kepada orang ramai.  

Semasa kelulusan diberi, terdapat beberapa syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa antaranya adalah lot tertentu tanah hendaklah dijual kepada pembeli bumiputra. 

Pemaju telahpun menjual salah satu lot tersebut kepada defendan yang merupakan seorang bukan bumiputra. Pemaju mendakwa berlakunya kekecewaan kontrak disebabkan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa dan tidak mahu menjual lot tersebut kepada Defendan. Defendan telah memohon perlaksanaan spesifik. 

Hakim memutuskan bahawa doktrin kekecewaan tidak terpakai hanya atas sebab bahawa pemaju menjadi sukar dan disusahkan untuk melaksanakan kontrak tersebut kepada defendan hanya disebabkan perubahan yang berlaku.  

Oleh itu, saya ingin menekankan disini bahawa untuk doktrin ini beroperasi, ianya disebabkan oleh sesuatu yang berlaku bukan disebabkan oleh kesalahan mana-mana pihak DAN ianya adalah MUSTAHIL untuk melaksanakan.  

Nak tahu mustahil ke tidak adalah berdasarkan kepada keaadan dan situasi setiap kes.  

Moga membawa manfaat, 

-Liyana the Lawyer-