Skip to main content

Liyana & Co.

Gadai Hak Demi Melepaskan Diri Dari Rumahtangga Yang Sudah Retak?

 

Gadai hak demi melepaskan diri dari rumahtangga yang sudah retak?

Cerita hari ini sedikit membuatkan admin tersebak, dan ia berdasarkan sebuah kes fail yang pernah berlaku.

Manusia, akan sampai satu tahap, dia bukan lagi minta bahagia.

Dia cuma minta dilepaskan.

Lepas bertahun-tahun bertahan.

Lepas terlalu lama merasa kosong dalam rumah tangga sendiri.

Lepas nafkah tidak dijaga.

Lepas rasa diri seperti sudah tidak dipedulikan.

Kadang-kadang ayat yang keluar cuma satu:

“Asalkan dia ceraikan saya.”

 

Itulah yang menjadikan kes RAHMA BTE BAKAR v ALI HAMZAH BIN BAKARUDDIN (BUKAN

NAMA SEBENAR) [2008] 1 SHLR 65 ini sangat menyentuh hati.

 

Dalam kes ini, pasangan tersebut telah berkahwin selama lebih kurang 32 tahun sebelum

akhirnya bercerai pada tahun 1990. Pada asalnya, si isteri memfailkan permohonan fasakh terhadap suaminya.

Antara alasan yang dibangkitkan ialah suami gagal memberi nafkah, nafkah zahir dan batin selama beberapa tahun,

serta menghalau isteri keluar rumah.

32 tahun hidup bersama.

 

Kemudian sampai satu tahap, seorang isteri perlu pergi ke mahkamah untuk minta perkahwinan itu diputuskan.

Tetapi di sinilah bahagian yang ramai orang perlu ambil pengajaran.

Suami bersetuju menceraikan isteri, tetapi dengan syarat.

 

Antara syaratnya, suami tidak mahu bertanggungjawab terhadap kos perbicaraan, tidak mahu memberi

nafkah iddah dan mut’ah, dan menyatakan bahawa apa-apa harta yang tinggal padanya tidak akan diberikan

atau dibahagikan kepada isteri. Si isteri pula menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan permintaan

suami dan rela menyerahkan segala-galanya kepada suami, asalkan suami menceraikannya.

Ayat itu nampak mudah.

Tapi berat.“Asalkan dia ceraikan saya.”

 

Kadang-kadang bila seseorang terlalu lama tersepit dalam rumah tangga, dia sanggup lepaskan banyak

perkara hanya untuk keluar.

Dia tidak fikir tentang rumah.

Dia tidak fikir tentang kereta.

Dia tidak fikir tentang simpanan.

Dia tidak fikir tentang hak selepas cerai.

Dia cuma fikir:

“Aku nak bebas.”

 

Selepas perceraian itu berlaku, bekas isteri kemudian memfailkan tuntutan harta sepencarian.

Beliau mendakwa terdapat beberapa harta yang diperoleh semasa perkahwinan, termasuk rumah, kereta,

saham ASN, Amanah Saham MARA dan beberapa harta lain.

Tetapi tuntutan itu ditolak.

 

Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa tuntutan tersebut tidak dapat diberikan kerana isteri telah

menggugurkan hak itu sebagai syarat perceraian. Apabila kes ini dibawa ke Mahkamah Rayuan Syariah,

rayuan tersebut juga ditolak. Mahkamah Rayuan Syariah menerima bahawa wujud perjanjian perceraian

antara pihak-pihak, dan perjanjian itu tidak menyalahi hukum syarak. Maka, pihak-pihak terikat dengan

perjanjian tersebut.

 

Ini bukan sekadar cerita tentang harta sepencarian.

Ini cerita tentang keputusan yang dibuat ketika emosi sedang penat.

Tentang seorang wanita yang mungkin sudah terlalu letih untuk berjuang.

Tentang bagaimana satu persetujuan di mahkamah boleh memberi kesan besar selepas perceraian.

Dan tentang pentingnya memahami hak sebelum berkata:

“Saya setuju.”

 

Ramai orang ingat fasakh itu cuma tentang minta cerai.

Tetapi sebenarnya, apabila kita masuk mahkamah untuk urusan perceraian, banyak perkara boleh terlibat.

Nafkah iddah.

Mut’ah.

Harta sepencarian.

Tempat tinggal.

Hak selepas perceraian.

Terma persetujuan.

Kesan jangka panjang.

 

Dalam kes ini, fasakh yang pada awalnya difailkan atas alasan kegagalan nafkah akhirnya bertukar menjadi

perceraian dengan persetujuan bersyarat. Dan syarat itu kemudian menjadi penghalang kepada tuntutan

harta sepencarian selepas perceraian.

 

Itulah pengajarannya.

Jangan tandatangan.

Jangan setuju.

Jangan lafazkan persetujuan.

Jangan terima apa-apa syarat.

 

Semata-mata kerana kita mahu cepat selesai.

Sebab dalam undang-undang, sesuatu yang kita anggap “masa itu saya cuma nak lepas” boleh dibaca

sebagai persetujuan yang mengikat.

Terutama apabila ia direkodkan di hadapan mahkamah.

 

Untuk wanita yang sedang melalui proses perceraian, fahamkan satu perkara ini:

Mahu keluar daripada perkahwinan yang menyakitkan itu satu hal.

Tetapi keluar tanpa memahami hak sendiri, itu satu mampu menjadi kesilapan besar.

Kita boleh penat.

Kita boleh sedih.

Kita boleh rasa sudah tidak sanggup.

Tapi sebelum bersetuju dengan apa-apa syarat, dapatkan nasihat dahulu.

Bukan kerana kita mahu melawan.

Tetapi kerana kita tidak mahu menyesal kemudian.

 

Kadang-kadang, hak itu bukan hilang sebab mahkamah mendengar ‘side’ kita. Hak itu hilang kerana kita sendiri sudah bersetuju untuk melepaskannya.

Dan yang paling menyakitkan?

Kita hanya sedar selepas semuanya selesai.

Perceraian bukan sekadar tentang melepaskan seseorang.

Ia juga tentang memastikan kehidupan selepas itu tidak dimulakan dengan penyesalan.

Sebab itu, kalau anda sedang berdepan perceraian, fasakh atau perbincangan terma

penyelesaian dengan pasangan, jangan hadap seorang diri.

 

Fahamkan hak anda.

Fahamkan kesan setiap ayat yang anda persetujui.

Kerana, satu ayat yang kita sebut ketika hati sedang hancur boleh memberi kesan untuk bertahun-tahun selepas itu.