Ada orang, bila dah tak puas hati, terus capai telefon, buka live. Apa yang keluar dari mulut masa tu, semuanya ikut emosi. Tapi kadang-kadang, satu live cukup untuk menjatuhkan maruah seseorang seumur hidup.
Kisah ini tentang seorang usahawan. Bukan calang-calang — ada restoran sendiri, butik pakaian, urus majlis perkahwinan, sampai ke produk kecantikan pun dia kendalikan. Pernah bekerjasama dengan ramai orang ternama. Hidup dan bisnesnya banyak bergantung pada kepercayaan orang ramai.
Segalanya bermula dengan seorang bekas client. Dahulunya, hubungan baik. Sering datang ke restoran, jadi pelanggan tetap. Pernah juga minta bantuan kewangan waktu susah. Disebabkan simpati dan hubungan mesra, usahawan ini hulur tangan. Bukan sekadar bantu, malah pernah beri upah bila bekas client itu rajin tolong di restoran.
Tapi semua berubah bila berlaku salah faham. Hubungan renggang, akhirnya terputus. Beberapa bulan kemudian, muncul satu video live — penuh dengan tuduhan, sindiran, dan cerita lama dibuka semula.
Nama usahawan disebut berkali-kali. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan: konon sorok status kesihatan, konon terlibat dengan kematian, tak bayar gaji, ambil rasuah, malah kaitkan hal-hal peribadi keluarga. Semua tanpa bukti.
Video itu tular. Dalam masa beberapa hari, puluhan ribu orang menonton. Komen jadi medan tambah fitnah. Klien mula hilang percaya, rakan niaga menjauh, reputasi yang dibina bertahun-tahun runtuh hanya kerana satu live bekas client yang tak bertanggungjawab.
Ramai tak sedar — ini bukan sekadar salah moral. Ia adalah fitnah. Menyebarkan tuduhan terbuka tanpa bukti boleh disaman di mahkamah. Kalau libatkan maruah, keluarga, dan reputasi perniagaan, saman itu boleh bernilai besar. Malah ada situasi ia boleh jadi kes jenayah.
Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghancurkan hidup orang lain. Sekali fitnah tersebar, ia kekal dalam ingatan orang ramai. Dan kadang-kadang, satu video live dalam marah… boleh dibalas dengan satu surat saman yang datang tanpa amaran.