HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI

Ada sebuah syarikat besar di Malaysia, kita panggil saja Syarikat Maju Jaya Berhad. Syarikat ini terkenal dalam industri pembinaan dan jalan raya, kukuh bertahun-tahun dengan reputasi yang dipercayai ramai pelabur. Namun segalanya berubah apabila dua orang pengarah baru, Encik L dan Encik A, masuk ke dalam lembaga. Mereka datang dengan imej profesional, penuh karisma, dan membawa satu tawaran yang nampak sangat lumayan.

Encik L dan Encik A memperkenalkan peluang pelaburan dalam industri minyak dan gas di luar negara. Kononnya ada syarikat asing yang memegang hak mengendalikan ladang minyak, dan jika Syarikat Maju Jaya membeli saham, mereka boleh terlibat dalam projek yang bernilai berbilion. Tawaran ini membuatkan ahli lembaga pengarah teruja. Mereka melihatnya sebagai peluang emas untuk melebarkan sayap perniagaan ke sektor baru. Tidak lama kemudian, perjanjian pun ditandatangani, dan syarikat membayar jumlah sekitar RM80 juta. Untuk meyakinkan semua pihak, Encik L dan Encik A menunjukkan adanya cagaran berupa saham sebuah syarikat tersenarai di luar negara.

Di sebalik janji manis itu, rupa-rupanya Encik L dan Encik A mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat asing tersebut. Mereka tidak pernah mendedahkan hal ini kepada lembaga pengarah. Lebih memburukkan keadaan, wang yang dibayar oleh syarikat tidak pernah digunakan untuk projek minyak seperti yang dijanjikan. Sebaliknya, wang itu dipindahkan keluar melalui akaun syarikat lain yang berada di bawah kawalan mereka sendiri. Surat-menyurat penting yang kononnya datang daripada syarikat asing juga sebenarnya ditulis oleh mereka dan tandatangan individu lain dipalsukan.

Apabila Syarikat Maju Jaya menyedari ada sesuatu yang tidak kena lalu cuba menghentikan perjanjian dan menuntut wang dikembalikan, Encik L dan Encik A pula menyusun surat balasan seolah-olah dari pihak syarikat asing, menafikan hak syarikat untuk membatalkan perjanjian. Malah mereka berusaha menghalang syarikat daripada menjual cagaran yang kononnya dijanjikan. Akhirnya, syarikat bukan sahaja gagal mendapatkan kembali pelaburannya, malah hampir lumpuh akibat kehilangan puluhan juta ringgit.

Kes ini dibawa ke mahkamah. Perbicaraan berlangsung bertahun-tahun, penuh dengan saksi, bukti emel, laporan forensik tandatangan, malah rakaman audio perbualan rahsia. Segala bukti menunjukkan bahawa Encik L dan Encik A sebenarnya mengawal syarikat asing itu dan beberapa syarikat lain melalui proksi. Mereka sengaja menyembunyikan kepentingan peribadi, mengatur perpindahan wang syarikat, serta mencipta dokumen palsu untuk menutup jejak. Hakikatnya, keseluruhan transaksi itu hanyalah satu helah untuk menipu syarikat mereka sendiri.

Akhirnya mahkamah membuat keputusan. Hakim mendapati Encik L dan Encik A telah melanggar amanah fidusiari sebagai pengarah, berkomplot untuk menipu, dan wajib membayar kembali wang sekitar RM80 juta kepada syarikat. Keputusan ini jelas menunjukkan bahawa mereka bersalah kerana menyalahgunakan kedudukan dan mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan syarikat.

Kisah ini menjadi pengajaran besar kepada dunia korporat. Bahaya sebenar kadangkala bukan datang daripada pesaing luar, tetapi daripada orang dalam yang diberi kepercayaan untuk menjaga kepentingan syarikat. Pengarah wajib mendedahkan jika mereka mempunyai kepentingan peribadi, kerana kegagalan berbuat demikian boleh dianggap sebagai penipuan. Proses due diligence sekalipun tidak dapat melindungi syarikat jika orang dalam sudah berniat jahat. Akhirnya, hanya integriti yang menjadi benteng sebenar untuk memastikan duit syarikat tidak lesap begitu sahaja.

Inilah kisah bagaimana sebuah syarikat besar hampir tumbang bukan kerana serangan luar, tetapi kerana pagar yang makan padi.

Like this article?

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest

Leave a comment