tiga remaja mati ditembak polis
Sharing :
tiga remaja mati ditembak polis
Liyana The Lawyer
Pada 13 November 2010, tiga remaja iaitu Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 22, dan Muhammad Hanafi Omar 21, mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam.
Dalam kejadian 12 tahun lalu itu, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor pada ketika itu, A Thaivegan berkata, ketiga-tiga remaja itu bersenjatakan parang dan cuba menyerang polis selepas merompak beberapa stesen petrol di Monteres dan Bukit Subang sebelum ditembak mati.
Ibu bapa kepada tiga remaja berkenaan memfailkan saman terhadap kematian anak-anak mereka dengan menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan, serta anggota polis yang terlibat dalam tembakan tersebut.
Berdasarkan laporan autopsi, peguam berhujah bahawa tiga remaja itu ditembak dari jarak dekat. Kejadian itu dianggap sebagai cuai dan bertindak secara terburu-buru serta tidak mengikut prosedur ketika melakukan tembakan. Selain itu, mereka mendakwa pasukan polis gagal mengawal anggotanya dalam operasi tangkapan dan sistem yang wajar berhubung penangkapan penjenayah dan pengendalian suspek yang ditangkap.
Mereka turut mendakwa polis cuai dan tidak kompeten dalam mengiktiraf hak untuk hidup dan hak terhadap keselamatan dan kesihatan mangsa.
Pada 11 Ogos 2015, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada defendan.
Namun pada 1 September 2016, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan mereka dan memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab ke atas kematian tiga remaja berkenaan. Perkara itu kemudian diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk penilaian ganti rugi.
Pada 29 Jun 2021, Hakim Mahkamah Tinggi seterusnya mengarahkan kerajaan dan polis untuk membayar tuntutan ganti rugi berjumlah RM1,519,200 kepada keluarga tiga remaja tersebut.