Sharing :

LELAKI DISAMAN KERANA JANJI NAK KAHWIN TAPI TAK JADI

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Pernah dengar kes mengenai lelaki yang di saman kerana Janji Nak Kahwin dengan seorang wanita tapi tak jadi? 

Hari Jumaat minggu lepas, pada pukul 5:30PM seorang wanita telah menghubungi pejabat saya dan membayar untuk sesi konsultasi selama 30 minit melalui panggilan telefon.  

Pokok persoalan yang diajukan dalam sesi konsultasi ini adalah sama ada perjanjian pampasan kecurangan yang dibuat antara beliau dengan bekas teman lelakinya adalah sah di sisi undang-undang atau tidak. 

Dalam kes M v Datuk W, [2012] 7 MLJ 419, M adalah seorang wanita Muslim dan merupakan seorang selebriti hos yang terhangat di Malaysia suatu ketika dahulu manakala Datuk W pula adalah lelaki Muslim dan seorang hartawan.  

Fakta kes secara ringkas adalah, Datuk W telah berjanji untuk berkahwin dengan M yang sedang dalam perkahwinan yang sah.  

 

Datuk W kemudian telah memungkiri perjanjian ini dan telah bersetuju untuk menandatangani sebuah perjanjian hitam putih di mana Datuk W akan memberi pampasan sebanyak RM10JUTA kepada M disebabkan kegagalannya untuk menunaikan janjinya untuk berkahwin dengan M dan M pula bersetuju untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Datuk W disebabkan kegagalannya untuk menunaikan janjinya. 

Di sini, diantara isu-isu yang ditimbulkan adalah sama ada:- 

perjanjian itu adalah sah di sisi undang-undang dibawah seksyen 11 Akta Kontrak 1950 kerana M tidak ada kelayakan dari segi undang-undang untuk memasuki perjanjian untuk berkahwin seperti yang diperuntukkan di bawah s 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang melarang seorang wanita yang telah bernikah untuk mengahwini lelaki lain. 

sama ada perjanjian itu batal di bawah s 24(e) Akta Kontrak 1950 kerana ia tidak bermoral dan bertentangan dengan polisi awam kerana ia akan mengiktiraf atau membenarkan wanita Islam yang telah berkahwin berlaku curang; 

Di sini, Hakim yang bijaksana memutuskan bahawa: Sekiranya mahkamah membenarkan tuntutan M, mahkamah ini secara tersirat mengakui bahawa M yang masih berada di dalam perkahwinan yang sah, boleh memasuki perjanjian untuk berkahwin dengan lelaki lain, apabila perbuatan ini dilarang secara nyata oleh s 14(1) Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.  

M berhujah bahawa dalam perjanjian untuk berkahwin dengan Datuk W, beliau tidak menyalahi undang-undang kerana perkahwinan itu hanya akan diteruskan setelah M mendapat perceraian yang sah dari suami nya sekarang. 

Ini dinamakan contingency contract dan Seksyen 33 Akta Kontrak 1950 menyatakan: Kontrak Kontinjen untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jika kejadian masa depan yang tidak pasti berlaku tidak boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang melainkan dan sehingga peristiwa itu telah berlaku. 

Tidak ada wanita Islam yang boleh katakan secara selamat bahawa dia boleh mendapatkan perceraian daripada suaminya. Dia bukanlah satu-satunya pembuat keputusan. Dalam kes ini, M hanya boleh mempetisyen untuk perceraian tetapi Mahkamah berpendapat tidak ada kepastian bahawa akan ada perceraian antara plaintif dan suaminya atau jaminan bahawa Mahkamah Syariah akhirnya akan memberikan perceraian kepada plaintif. 

Apa yang saya ingin ulas di sini, sekiranya wanita tersebut memang adalah wanita bujang, dan terdapat pemahaman antara kedua lelaki dan perempuan itu bahawa lelaki itu berjanji akan berkahwin dengan wanita tersebut dan kemudian memungkirinya, maka perjanjian jenis ini mungkin boleh diterima pakai di mahkamah kerana semua elemen-elemen kontrak telah dipenuhi. 

Menarik bukan kes kali ini? For sure law is interesting for those who care to read. 

Sekian, moga anda lebh bijak law setelah membaca artikel saya, 

-Liyana the Lawyer-