Sharing :

Bekas Pengurus Kewangan Dibuang Kerja Menang RM50,750 Kerana Syarikat Tutup Operasi

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua,. 

Hari ini saya ingin berkongsi mengenai kes 22 / 4-1859 / 19 antara C Y K DAN C Y TRAVEL & TOURS SDN. BHD. Kes ini adalah mengenai pekerja yang diberhentikan ketika majikan mengumumkan untuk menutup syarikat mereka. 

Pada 1 Jun 2018, Penuntut mula bekerja sebagai Pengurus Akaun dengan gaji pokok RM6,600.00 sebulan dengan elaun pengangkutan tetap RM500 dan RM150 untuk elaun telefon bimbit. 

Pada 5 Disember 2018, Penuntut disahkan jawatannya sebagai Pengurus Kewangan dengan elaun tetap bulanan RM350 untuk pengangkutan & RM150 untuk telefon bimbit. 

Pada 17 Jun 2019, Syarikat mengeluarkan Surat kepada semua kakitangannya yang menyatakan bahawa mereka menghadapi masalah kewangan & krisis ekonomi dan akan ditutup secara rasmi pada keesokan harinya, iaitu pada 18 Jun 2019. Ini menjadikan, pekerjaan Penuntut dengan Syarikat akan berakhir secara efektif pada 18 Jun 2019.  

Pada 20 Jun 2019, Penuntut membuat laporan polis mengenai pemberhentiannya oleh Syarikat dengan segera kerana Syarikat gagal membayar gaji & elaun kepadanya sebanyak : – 

  1. Mei 2019 = RM6,037.60 
  2. 1 Jun 2019 hingga 18 Jun 2019 = RM3,992.16. 

dan pampasan bersamaan dengan gaji 2 bulan berjumlah RM14,500. 

Pada masa penamatan, Penuntut telah berkhidmat dengan Syarikat selama 1 tahun & 18 hari. Gaji terakhirnya pada April 2019 ialah RM7,250 yang terdiri daripada gaji pokoknya RM6,750, elaun pengangkutan RM350 & elaun telefon bimbit RM150. 

Penuntut berpendapat bahawa pemecatannya oleh Syarikat adalah tanpa sebab atau alasan yang munasabah. Penuntut mahu dikembalikan jawatannya yang terdahulu di Syarikat sebagai Pengurus Kewangan dengan gaji & faedah penuh tetapi tidak ada perintah untuk pengembalian semula kerana Syarikat secara efektif telah tidak lagi beroperasi. 

Mahkamah telah memerintahkan pampasan dibayar oleh Syarikat selama 7 bulan kepada pekerja ini, di mana jumlah yang diberikan sebagai bayaran balik adalah RM50,750, iaitu RM7,250 x 7 bulan. Mahkamah mengawardkan dan mengarahkan Syarikat untuk membayar kepada Penuntut sejumlah RM50,750 dan tertakluk kepada pemotongan undang-undang (jika ada), mesti dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh yang disebutkan di bahagian bawah Award ini. 

Sekian, moga anda lebih bijak law setelah membaca artikel saya ini, 

-Liyana the Lawyer-