Anda pernah dengar tentang kecuaian perubatan? 

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Peguam & Penyelamat Anda

Adakah anda tahu tentang hak untuk membawa tindakan ke Mahkamah sekiranya anda mengalami kecederaan atau kecacatan akibat tidak menerima rawatan yang betul?

Apakah itu kecuaian perubatan?

Kecuaian perubatan adalah keingkaran kewajiban oleh pakar kesihatan kepada pesakitnya sehingga menyebabkan kerosakan atau kecederaan. Keingkaran kewajiban ini boleh berlaku apabila pakar kesihatan gagal menyediakan atau menggunakan perkhidmatan mengikut piawaian yang boleh diterima dan munasabah.

Bagaimanakah cara untuk membuktikan kecuaian perubatan?

1. Doktor atau hospital mempunyai kewajiban berjaga-jaga ke atas pesakit untuk mendapatkan rawatan yang wajar dan mengikut piawaian perubatan yang munasabah. 

2. Doktor telah mengingkar kewajiban berjaga-jaga ke atas pesakit apabila doktor tersebut gagal untuk menjalankan rawatan mengikut piawaian perubatan yang munasabah. 

3. Pesakit mengalami kecederaan ataupun kerugian. 

4. Terdapat hubungan penyebab antara kecuaian dan kecederaan dialami oleh pesakit.

Apakah yang boleh dituntut sekiranya anda menghadapi kecederaan akibat daripada kecuaian doktor ataupun hospital?

Anda boleh menuntut ganti rugi daripada pihak yang berkenaan. Dari segi ganti rugi, Mahkamah akan memutuskan ganti rugi adalah dalam bentuk pampasan yang bertujuan untuk memulangkan kembali keadaan asal penuntut jika kecuaian tersebut tidak berlaku. Ganti rugi terbahagi kepada dua iaitu:

Ganti rugi Am ialah ganti rugi yang diberikan untuk kecederaan yang tidak ketara seperti pampasan terhadap kesakitan, kesengsaraan dan kesukaran kehidupan.

Ganti rugi Khas ialah ganti rugi yang diberikan untuk setiap kerugian yang boleh dikira iaitu kehilangan pendapatan, kos perubatan dan bil.

Sekiranya anda ingin memulakan tindakan undang-undang, apakah perkara-perkara yang anda perlu lakukan?

1. Anda perlu menyediakan segala dokumen-dokumen berkenaan kecederaan dan kecuaian yang dialami seperti laporan perubatan, kad temujanji hospital, dan resit-resit bayaran. 

2. Hubungi peguam dan dapatkan nasihat guaman untuk memulakan tindakan seterusnya. 

3. Lantik peguam untuk mulakan tindakan di Mahkamah.

Dalam kes NI v Samuel [2013] 9 MLJ 385, Plaintif mendapati bahawa dia mengandung sekali lagi empat bulan setelah kelahiran

anaknya yang kelima. Plaintif meminta Defendan yang merupakan pakar sakit puan, untuk menggugurkan kandungan itu dan pada masa yang sama memasukkan satu alat kontraseptif di dalam rahim. Semasa merujuk Defendan, Defendan didakwa memberikan jaminan kepada Plaintif bahawa prosedur-prosedur yang diinginkan adalah mudah.

Walau bagaimanapun, semasa prosedur-prosedur tersebut dijalankan, dinding kanan uterus dan arteri kanan uterus Plaintif telah berlubang dan memerlukan satu pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa dan membuang rahim serta ovari kanannya. Plaintif telah membawa tindakan atas kecuaian perubatan kerana Defendan gagal untuk menasihatkan Plaintif tentang risiko yang terbabit dalam prosedur-prosedur tersebut.

Plaintif turut mendakwa bahawa Defendan telah mengakibatkan kesakitan dan penderitaan kepada Plaintif. Plaintif tidak dapat mengandung lagi dan menderita tekanan emosi. Selain daripada menuntut ganti rugi Am, Plaintif menuntut ganti rugi Khas RM6,000 untuk menggajikan orang gaji selama setahun untuk membantunya menjaga anak-anaknya semasa tempoh pemulihan selepas pembedahannya dan RM1,000 untuk pembelian makanan berkhasiat tambahan. 

Mahkamah membenarkan tuntutan dengan kos dan memberikan Plaintif RM220,000 dalam ganti rugi umum (kurang 10% kerana bertindih) dan RM3,000 dalam ganti rugi khas dengan faedah ke atas kedua-dua jumlah atas imbangan kebarangkalian, kecuaian jelas dibuktikan bahawa Defendan ketika merawat Plaintif tidak bertindak mengikut standard penjagaan yang diharapkan daripadanya.

Dalam IA [menyaman sebagai pentadbir si Mati] v GM & 10 yang lain-lain, Plaintif adalah bapa dan pentadbir si Mati. Pada Julai 2015, ibu si Mati telah dimasukkan ke hospital untuk memecahkan air ketuban. Pemecahan ketuban dilakukan pada hari yang sama. Tidak lama kemudian, janin (si Mati) mengalami degupan jantung yang perlahan di dalam rahim.

Pembedahan kecemasan dijalankan dan si Mati dilahirkan dalam keadaan sesak nafas dan mengalami kecederaan otak yang teruk selepas bersalin di hospital milik Defendan Pertama (D1). Plaintif memfailkan tindakan sebagai bapa dan wakil litigasi si Mati atas kecuaian perubatan yang mengakibatkan kecederaan otak. Si Mati telah meninggal dunia pada usia lima tahun dan Plaintif kini menyaman atas kapasiti sebagai pentadbir. Plaintif menuntut ganti rugi am dan khas serta kos dan faedah.

Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif telah membuktikan tuntutan ganti rugi am dan khas. Keseluruhan ganti rugi dipertimbangkan dan diberikan kepada Plaintif sebanyak RM 775,375.50 beserta kos sebanyak RM70,000.00 untuk dibayar oleh D1 kepada Plaintif.

Nak tahu kes-kes lain yang boleh membantu anda? Hubungi kami sekarang! 

�� Hubungi kami di talian: 

https://wa.me/60123640086

“Peguam & Penyelamat Anda!”

DO YOU NEED A LEGAL ADVICE?

Your Lawyer & Rescuer

Contact us to set up an appointment with our lawyers.
Our lawyers are always ready to assist you.

One Response

  1. Assalamualaikum. Sy nk tanya. Tmpt cucuk di punggung anak sy telah menyecut akibat suntikan ubat boleh Dr di klinik. Bolehkah sy saman klinik tersebut?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *