Pelaburan “Patuh Syariah” — Bila Struktur Cantik Rupanya Perangkap

Ahmad Syafiq & Anor v EAS Management PLT & Ors [2025] MLJU 4286

Ada webinar eksklusif. Slaid nampak sangat profesional. Penuh dengan istilah kewangan Islam yang “sedap” didengar—Patuh Syariah, Tawarruq, LLP, RPS-i. Semuanya nampak kemas, tersusun, dan sangat meyakinkan.

Tapi di Mahkamah Tinggi, segala “hiasan” ni akhirnya terbongkar. Apa yang disangka peluang pelaburan rupanya satu konspirasi penipuan yang berselindung di sebalik dokumen dan struktur korporat yang kompleks.

Dalam kes ni, seramai 249 orang pelabur nekad failkan saman class action terhadap beberapa syarikat dan individu. Mereka dijanjikan pulangan jualan bulanan melalui struktur Tawarruq yang kononnya “selamat dan patuh syariah”.

Para pelabur ni pun tandatangan dokumen besar—Perjanjian LLP dan Perjanjian Tawarruq. Duit dikutip masuk ke satu entiti, kemudian dipindahkan pula ke syarikat induk yang katanya melabur dalam sektor fintech.

Awalnya Indah, Lama-lama Parah.

Mula-mula, bayaran masuk macam biasa. Lepas tu, mula sangkut. Alasan demi alasan keluar. Daripada cerita pasal “pertumbuhan luar biasa”, naratif bertukar jadi “cabaran kewangan”. Akhirnya? Bayaran terhenti terus. Senyap sunyi.

Bila kes ni dibedah di mahkamah, hakim dapati beberapa fakta yang sangat mengejutkan:

Mahkamah tegaskan memang wujud kewajipan kontrak untuk bayar setiap bulan ikut jadual dalam Perjanjian Tawarruq tu. Tak boleh nak putar belit kata “tengok prestasi syarikat” bila dah janji awal-awal nak bayar tetap.

Kutip RM100 Juta, Tapi Pelaburan Entah Ke Mana: Skim ni kutip lebih RM100 juta daripada orang awam. Tapi bila semak, tak ada bukti pelaburan sebenar pun yang dibuat untuk sokong janji pulangan tu. Audit tak jelas, penggunaan dana pun samar-samar.

“Fraud” di Sebalik Sijil Syariah: Mahkamah putuskan wujud unsur penipuan (fraudulent misrepresentation). Sijil patuh syariah, webinar, dan memorandum pelaburan tu semua digunakan sebagai “umpan” untuk tarik orang melabur. Bila janji tak ditepati dan duit tak diurus secara telus, itu bukan lagi risiko bisnes—itu namanya menipu.

Paling penting, mahkamah “selak tirai korporat” (piercing the corporate veil). Syarikat yang digunakan sebagai “beg duit” untuk kutip dana tak boleh dijadikan pelindung. Bila struktur syarikat sengaja disalahgunakan untuk tutup salah laku, mahkamah tak teragak-agak untuk heret individu di belakangnya supaya bertanggungjawab secara peribadi.

Keputusannya? Mahkamah perintahkan defendan bayar balik RM23,108,685.30 kepada pelabur, siap dengan faedah dan kos guaman. (Nota: Ada sebahagian pelabur yang tuntutannya ditolak sebab gagal kemukakan dokumen perjanjian yang lengkap sebagai bukti—ingatan penting untuk kita sentiasa simpan dokumen asal!).

Pengajarannya:

Struktur korporat bukan lesen untuk menipu. Sijil atau istilah agama bukan “tangkal” yang buatkan sesuatu skim tu kebal daripada undang-undang. Kalau korang kutip duit orang awam guna janji-janji manis yang tak benar, mahkamah akan selak sampai ke akar umbi—dan individu di sebaliknya takkan ada tempat lagi nak bersembunyi.

Like this article?

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest

Leave a comment