Jangan Keliru, Surat Anugerah Bukan Kontrak: Kisah Syarikat Kecil Ditelan Gergasi

Dalam dunia bisnes, ada satu kisah yang cukup mengajar betapa kejamnya permainan korporat. Ia bermula dengan sebuah syarikat teknologi hijau dari Malaysia, EcoNova Solutions Sdn Bhd. Syarikat kecil ini penuh semangat, dengan misi besar: membawa teknologi kitar semula gas metana ke pasaran Asia. Tahun 2018, peluang emas datang. EcoNova menerima Surat Anugerah daripada sebuah syarikat tenaga di Jakarta, IndoWaste Power Ltd, untuk projek

pemasangan sistem tenaga bersih di tapak pelupusan gergasi di pinggir kota. Nilai projek mencecah hampir USD10 juta. Bagi EcoNova, inilah projek yang bakal mengubah masa depan syarikat.

Tanpa melengahkan masa, dari hujung 2018 hingga pertengahan 2019, EcoNova sudah melabur ratusan ribu ringgit untuk kerja-kerja pra-kontrak. Mereka menghantar jurutera ke lokasi, membuat kajian tanah, melakar pelan awal, berbincang dengan pembekal dari China dan Eropah, bahkan membawa pegawai Indonesia ke Malaysia untuk melihat projek contoh. Segala kos ditanggung oleh syarikat telerbih dahulu. Invois demi invois dihantar, berjumlah lebih RM300,000. Pihak IndoWaste tidak pernah bantah. Malah, email rasmi mereka berulang kali mengesahkan bayaran akan dibuat “sebaik sahaja dana pelepasan masuk.”

EcoNova menunggu dengan penuh harapan. Mereka yakin kontrak penuh hanya menunggu masa untuk ditandatangani. Tetapi kemudian, datang kejutan yang meremukkan hati. Awal 2020, dunia dikejutkan dengan pengumuman bahawa IndoWaste Power telah diambil alih oleh syarikat gergasi dari Jepun, Shimizu Energy Corp. Dan dalam kenyataan media mereka, Shimizu dengan lantang mengumumkan projek yang sebelum ini “diberikan” kepada EcoNova akan dijalankan oleh kumpulan mereka sendiri.

EcoNova jatuh terduduk. Segala pelaburan, kerja keras, dan harapan — sia-sia begitu sahaja. Mereka tidak dibayar kos pra-kontrak, malah keuntungan yang dijanjikan lebih USD200 ribu turut lesap. Mereka nekad membawa isu ini ke mahkamah.

Di mahkamah, hujah demi hujah berentap. EcoNova membuktikan mereka memang buat kerja dengan mengemukakan lukisan, laporan, serta dokumen lawatan tapak. IndoWaste pula cuba berdalih, kononnya EcoNova tidak layak kerana tidak berdaftar sebagai “jurutera profesional.” Malah mereka kata, “projek ni belum ada kontrak penuh pun.”

Hakim akhirnya membuat keputusan. EcoNova memang berhak mendapat kembali kos pra-kontrak mereka yang mencecah lebih RM300,000 kerana kerja itu jelas telah dilakukan atas permintaan IndoWaste. Tetapi untuk tuntutan keuntungan ratusan ribu dolar, mahkamah menolak. Alasannya: kontrak penuh belum muktamad. Surat Anugerah hanya sebut margin keuntungan, tetapi jumlah sebenar projek tidak pernah dipersetujui.

EcoNova menang, tapi hanya separuh. Mereka dapat kembali duit yang sudah dilaburkan, tetapi impian untuk menjadi pemain besar di pentas antarabangsa dirampas tanpa belas. Moral kisah ini? Jangan sekali-kali bergantung hanya pada Surat Anugerah. Selagi kontrak penuh belum ditandatangani, syarikat kecil sentiasa di hujung tanduk. Bila pemain gergasi masuk campur, anda boleh diketepikan sekelip mata.

Dalam dunia korporat, undang-undang itu jelas: hak anda hanya setakat apa yang ditandatangani di atas kertas. Di sebalik kertas tersebut, segalanya hanya janji kosong yang boleh dikhianati.

Like this article?

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest

Leave a comment