Di sebuah bandar kecil bernama Seri Murni, tiga sahabat lama — Farid, Nizam, dan Lina —memutuskan untuk membuka sebuah syarikat kopi premium. Mereka namakan syarikat itu Golden Brew Sdn Bhd. Modal dikumpul, peralatan dibeli, resipi kopi terbaik diuji. Perjanjian pun ditandatangani — semua setuju berkongsi untung, berkongsi keputusan, dan berkongsi tanggungjawab.
Pada awalnya, Golden Brew berkembang pesat. Pelanggan beratur setiap pagi, wang masuk, dan nama mereka mula dikenali di media sosial. Farid, yang paling berpengalaman dalam perniagaan, diangkat sebagai pengarah urusan. Lina mengurus pemasaran, manakala Nizam mengendalikan kewangan bersama-sama Farid. Tapi lama-kelamaan, sesuatu berubah.
Farid mula bertindak seolah-olah syarikat itu miliknya seorang. Dia tukar kata laluan perbankan syarikat tanpa beritahu sesiapa. Nizam tiba-tiba hilang akses ke akaun. Lina pula tidak lagi dijemput mesyuarat kewangan.
Tak cukup dengan itu, Farid mula memindahkan jualan besar-besaran Golden Brew kepadasyarikat lamanya, Kopi Klasik Enterprise, tanpa pengetahuan rakan kongsi. Pelanggan setia Golden Brew dihubungi secara peribadi dan ditawarkan harga lebih murah — asalkan mereka membeli daripada Kopi Klasik.
Bila Nizam dan Lina menegur, Farid tersenyum sinis. “Aku yang paling banyak modal. Aku tentukan arah syarikat ni.” Mereka terdiam, tapi dalam hati mereka tahu — ini sudah melampau.
Apa yang Farid tak sedar, perbuatannya itu bukan sekadar salah moral. Di bawah undang-undang, ia adalah satu bentuk penindasan terhadap rakan kongsi minoriti, seperti yang pernah berlaku dalam kes terkenal Re Hamid (Bukan Nama Sebenar), di mana seorang pengarah guna duit syarikat untuk tujuan peribadi dan mengurus seolah-olah dia pemilik tunggal. Mahkamah ketika itu memutuskan bahawa hak minoriti perlu dilindungi, walaupun majoriti cuba menindas.
Undang-undang juga melihat tindakan Farid sebagai expropriation of corporate assets —memindahkan aset atau peluang perniagaan syarikat kepada entiti lain untuk kepentingan diri.
Prinsip ini pernah dibincangkan dalam Re King Kong (Bukan Nama Sebenar), bahawa adagaris halus antara mengurus dengan tegas dan melanggar “fair play” yang dijamin kepada semua pemegang saham.
Akhirnya, Nizam dan Lina mengambil tindakan. Mereka ke mahkamah, memohon perintah dibawah Seksyen 346 Akta Syarikat 2016 untuk menghentikan penindasan itu, memaksa Farid membeli saham mereka pada harga yang adil, dan mengembalikan semua aset yang telah dialihkan.
Kerana dalam dunia korporat, sebesar mana pun pegangan saham seseorang, dia tetap terikat pada satu prinsip: Syarikat bukan milik seorang, tetapi milik semua yang mengorbankan modal, masa, dan kepercayaan untuk membinanya.