Tan Bak Lee v Chen Siew Lee & Ors [2025] MLJU 3567
Pernahkah anda meletakkan aset atau saham syarikat di bawah nama pasangan atau ahli keluarga atas dasar kepercayaan? Ramai berbuat demikian kerana menganggap hubungan peribadi sudah memadai sebagai perlindungan. Namun di sisi undang-undang, kepercayaan tanpa dokumen hitam putih adalah rapuh dan sukar dipertahankan apabila pertikaian timbul.
Dalam kes ini, seorang suami mendakwa 10% saham syarikat yang didaftarkan atas nama isterinya sejak 1994 sebenarnya dipegang sebagai amanah untuknya. Isteri pula menegaskan saham tersebut adalah hadiah sepanjang perkahwinan. Apabila saham itu dijual kepada pihak ketiga, suami cuba menghalang dengan alasan wujudnya amanah.
Mahkamah Tinggi menolak tuntutan tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa tiada bukti niat yang jelas untuk mewujudkan amanah ketika saham didaftarkan. Dakwaan amanah hanya dibangkitkan bertahun-tahun kemudian, selepas rumah tangga retak. Mahkamah turut menerapkan prinsip presumption of advancement, iaitu pemindahan aset oleh suami kepada isteri dianggap sebagai hadiah kecuali dibuktikan sebaliknya.
Mahkamah juga merujuk Artikel perlembagaan syarikat yang tidak mengiktiraf pemegangan saham atas amanah, selaras dengan Seksyen 101 Akta Syarikat 2016, di mana syarikat hanya mengiktiraf pemegang saham berdaftar. Isu aset perkahwinan di bawah Seksyen 76 Akta Reformasi Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pula tidak boleh digunakan untuk menyokong dakwaan amanah tanpa bukti.
Kesimpulannya, tanpa dokumen amanah yang jelas, saham atas nama orang lain kekal milik orang itu. Dalam undang-undang, kepercayaan sahaja tidak mencukupi.
Lesson learned: Kalau sesuatu itu penting untuk masa depan anda, jangan tunggu hubungan retak baru tanya soalan undang-undang. Selalunya, perlindungan terbaik dibuat ketika semuanya masih baik — bukan ketika sudah terlambat.