Sharing :

Menghina Sultan Dengan Komen “Daulat Tuanku, Jilat Taik Ku” Di Internet

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Perkongsian kes pada harini adalah antara Nor Hisham v Pendakwa Raya. Kes ini adalah mengenai Nor Hisham yang memohon kepada mahkamah supaya membatal dan atau mengenepikan Pertuduhan yang dikemukakan terhadap beliau di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] atas alasan ianya tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu menidakkan haknya untuk mendapat kebebasan asasi.  

 

Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] memperuntukkan:- 

 

(1) Seseorang yang – 

 

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar – 

 

(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan 

 

(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain; atau 

 

(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, -adalah melakukan suatu kesalahan. 

 

(2) Seseorang yang secara sedar – 

 

(a) Dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau 

 

(b) Membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi rangkaian di bawah kawalan orang itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a), adalah melakukan suatu kesalahan. 

 

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan. 

 

Pertuduhan terhadap Nor Hisham adalah pada 11.12.09, beliau telah menghantar melalui internet komen yang jelek sifatnya iaitu “DAULAT TUANKU, JILAT TAIK KU” terhadap DYMM Sultan Perak di http ://books.dreambook.com.webper/du1 1.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat DYMM Sultan Perak dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. 

 

Menurut Nor Hisham, peruntukan bawah seksyen 233(1)(a) Akta 1998 yang menjadikan kesalahan untuk “menyakitkan hati orang lain” merupakan sekatan kepada kebebasan untuk bercakap dan ekspresi diri yang dimaksudkan oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

 

Mengikut Pendakwaraya, kebebasan yang diberi bukan merupakan pas untuk mengenepikan kewajipan bertindak dengan penuh tanggungjawab dan ia bukanlah hak yang diberi secara mutlak sebaliknya mengikut peruntukan Perkara 10 Perlembagaan dan tertakluk kepada sekatan yang digariskan dalam klausa-klausa (2),(3) & (4) Perkara yang sama. 

 

Mahkamah memutuskan bahawa seksyen 233(1)(a) Akta 1998 merupakan sekatan munasabah bertujuan mencapak objektif Perkara 10(2)(a) Perlembagaan.  

 

Mahkamah juga mendapati bahawa Dalam kes ini dimana ekspresi diri melalui kata-kata jelek khususnya “DAULAT TUANKU, JILAT TAIK KU” yang di tujukan kepada DYMM Sultan Perak yang merupakan seorang raja berperlembagaan, didapati bukan saja menyakitkan hati bahkan tidak langsung menunjukkan kepada mahkamah bagaimana dikatakan ianya mempunyai nilai yang memunafa’atkan kepentingan awam. 

 

komen sebegini jika dibiarkan tanpa sekatan, dalam keadaan tertentu lebih-lebih dalam keadaan masyarakat berbilang kaum dengan pelbagai fahamannya, boleh secara munasabahnya mencetuskan sentimen di kalangan mereka yang menjunjung tinggi kedaulatan raja berperlembagaan, menyemarakkan ketegangan perkauman dan meretakkan ikatan perpaduan. Tentunya itu akan memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. 

 

Mahkamah dengan ini menolak permohonan Nor Hisham.  

 

Sekian, moga perkongsian saya pada kali ini membuat anda sedar bahawa kebebasan bercakap dan ekspresi diri yang ditetapkan oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan ada hadnya dan tidak boleh dijadikan alasan dan sandaran untuk membuat komen yang keterlaluan. 

Liyana the Lawyer