Ada seorang klien datang ke firma kami — seorang lelaki berumur lewat 40-an, bekas pengurus kanan di sebuah koperasi besar. Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali tegas dan telus. Tapi kadang-kadang, bila seseorang terlalu telus… dia jadi ancaman kepada mereka yang punya kuasa.
Client kami pernah dedahkan beberapa salah guna kewangan dalam organisasi termasuk kelulusan bajet tanpa pengesahan lembaga, dan transaksi yang merugikan syarikat. Bukan dia tuduh sembarangan. Dia sertakan sekali dengan bukti. Tapi lepas itu, keadaannya mula berubah.
Jawatan ditukar, gaji dipotong, akses dihadkan. Dan akhirnya, datang satu surat — katanya “pelarasan organisasi”, bahagian dia ditutup, dan dia diberhentikan serta-merta.
Tapi peliknya, hanya beberapa minggu kemudian, ada orang baru dilantik pegang bahagian yang kononnya dah ‘ditutup’ itu.
Dia buat aduan ke jabatan berkaitan, dan kes dirujuk ke tribunal buruh. Tapi tribunal putuskan pemberhentian itu sah — sebab alasan “pengurangan kakitangan” katanya mencukupi. Mereka tak ulas pun tentang bukti-bukti penindasan dan konflik dalaman yang dia dah bentangkan.
Dia tak putus asa. Dia cabar keputusan itu di mahkamah — dan akhirnya, mahkamah tertinggi negara bersuara.
Mahkamah dapati ada kesilapan besar dalam keputusan tribunal — khususnya kerana tribunal langsung tidak meneliti isu utama yang dibangkitkan: sama ada pemberhentian ini dibuat dengan niat tidak jujur dan berpunca daripada unsur “bias” serta dendam organisasi.
Lebih mengejutkan, Mahkamah terus buat keputusan bahawa pemecatan itu dilakukan tanpa sebab munasabah — dan bukan sekadar batalkan keputusan asal, tetapi terus arahkan pampasan diberikan kepada beliau. Ini sesuatu yang jarang berlaku, kerana biasanya kes-kes macam ini akan dihantar semula ke tribunal untuk ditentukan pampasan.
Tapi kali ini, Mahkamah kata: “Kalau kami hanya batalkan keputusan dan suruh mula semula, keadilan sebenar belum tercapai. Orang ini dah tunggu terlalu lama. Dan undang-undang tak patut jadi alat yang melambatkan hak.”
Saya kongsikan cerita ini bukan sebab nak buat sensasi.
Saya kongsikan sebab saya tahu, ramai pekerja yang senyap walaupun dianiaya. Mereka fikir sistem takkan bantu mereka. Mereka takut bila terima surat pemecatan, mereka dah kalah. Sedangkan — jika ada unsur salah guna kuasa, diskriminasi atau niat jahat — anda ada hak untuk cabar.
Bukan semua pemecatan itu sah. Dan bukan semua alasan “retrenched” itu benar.