Ramai yang masih keliru antara rogol dan amang seksual. Hakikatnya, amang seksual bukan hanya tentang sentuhan fizikal yang keterlaluan. Ia termasuk segala bentuk perbuatan lucah terhadap kanak-kanak, termasuk menyentuh secara tidak senonoh, menunjukkan bahan lucah, atau mengeluarkan kata-kata berbaur seksual.
Di bawah Seksyen 2 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, mana-mana perlakuan yang mengeksploitasi seksual kanak-kanak — walau tanpa hubungan seksual — adalah satu kesalahan jenayah. Pegang-pegang yang dianggap “main-main” itu boleh jadi permulaan trauma seumur hidup.
Bukan Salah Mangsa
Satu perkara yang wajib kita tanam dalam masyarakat: diam bukan bermakna rela. Ramai kanak-kanak tak tahu bagaimana nak bersuara, lebih-lebih lagi bila pelaku adalah orang yang mereka sayang atau takut. Mereka rasa bersalah, keliru, takut dimarahi. Tapi undang-undang jelas — consent (persetujuan) daripada kanak-kanak bawah umur tidak sah. Tiada siapa boleh kata “dia rela” jika dia masih bawah umur. Tugas kita ialah menyokong, bukan menyalahkan.
Apa Undang-Undang Yang Terpakai?
Di Malaysia, kes amang seksual terhadap kanak-kanak dikendalikan dengan serius. Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara hingga 20 tahun, sebatan, dan perintah pengawasan khas.
Seksyen 14 khusus menangani perbuatan amang seksual, manakala Seksyen 16 melibatkan perlakuan lucah. Kes-kes sebegini dibicarakan di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang ditubuhkan khas untuk melindungi mangsa dan mempercepatkan keadilan. Jangan tunggu sampai ada bukti fizikal – laporan tetap boleh dibuat
Tanda-Tanda Anak Mungkin Jadi Mangsa
Satu perkara menyayat hati dalam kes-kes ini ialah bagaimana tanda-tanda awal sering diabaikan. Kanak-kanak yang menjadi mangsa mungkin berubah menjadi pendiam, takut berada bersendirian, sering menangis, mimpi buruk, atau menolak untuk ke sekolah.
Ada juga yang menunjukkan perubahan dalam tingkah laku – terlalu agresif, terlalu tertutup, atau terlalu ‘dewasa’ untuk usia mereka. Jika anak anda tiba-tiba berubah dan elakkan diri dari seseorang yang rapat, tolong jangan anggap itu biasa. Percayakan naluri anda.\
Mangsa Paling Ramai – Kanak-Kanak dan Remaja
Kita sering membayangkan pelaku sebagai orang asing di lorong gelap. Tapi data menunjukkan, dalam 9 daripada 10 kes, pelaku adalah individu yang dikenal mangsa – ahli keluarga, jiran, guru, malah ayah sendiri. Kes amang seksual kerap berlaku di tempat yang kononnya ‘selamat’ – rumah sendiri, sekolah, pusat komuniti. Sebab itu, penting untuk kita bersikap lebih peka. Jangan tunggu laporan baru nak bertindak. Langkah pencegahan bermula dengan kesedaran dan pendidikan.
Suara Ibu, Suara Anak – Jangan Diam!
“Dalam satu kes sebenar yang kami kendalikan, seorang ibu tunggal membawa kes ke Mahkamah Sesyen apabila anak perempuannya yang berumur 9 tahun menunjukkan perubahan mendadak. Siasatan akhirnya membuktikan bekas suaminya sendiri melakukan perbuatan amang seksual. Walaupun pada awalnya tiada saksi lain, keterangan mangsa yang jujur dan laporan perubatan cukup untuk mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun.
Hakim menyatakan bahawa keterangan kanak-kanak mesti diambil serius, dan kecederaan emosi mereka lebih dahsyat dari yang terlihat. Ibu tersebut tidak faham sepenuhnya undang-undang – tapi dia tahu, dia mesti bersuara. Dan kerana keberaniannya, keadilan berpihak kepadanya.