Wan Badaruddin bin Che Wan Basor Ali v CIMB Bank Bhd & Anor
Nama dalam akaun bank bersama sering disangka sebagai tiket automatik bila seorang lagi meninggal dunia. Bila bank benarkan keluarkan duit, terus dianggap sah milik. Bila ada survivorship clause, kononnya cerita tamat di situ. Hakikatnya, pemilikan wang tidak ditentukan oleh sangkaan, borang bank atau kemudahan pengeluaran — tetapi oleh prinsip undang-undang yang jauh lebih ketat daripada itu.
Kes ini tentang seorang warga emas, kita panggil Encik Ahmad. Pada usia 82 tahun, beliau membuka akaun simpanan tetap bersama di sebuah bank konvensional dan menamakan rakan karibnya, Encik Bakri, sebagai pemegang akaun bersama. Hubungan mereka rapat. Kepercayaan wujud. Tiada dokumen tambahan. Tiada hibah bertulis. Semuanya bergantung pada struktur akaun bank.
Apabila Encik Ahmad meninggal dunia, keadaan berubah serta-merta. Keluarga tampil dan mengarahkan semua akaun dibekukan. Pentadbir harta pusaka mula menjalankan tugas. Dan di sinilah konflik bermula.
Encik Bakri mendakwa wang dalam akaun itu miliknya. Alasannya — kontrak bank menyatakan bahawa pemegang akaun yang masih hidup berhak ke atas baki akaun. Dari sudutnya, isu ini mudah: bank bagi, klausa jelas, duit itu haknya.
Pentadbir harta pula melihat perkara ini dari sudut berbeza. Bagi mereka, wang itu adalah harta si mati. Ia perlu masuk ke dalam harta pusaka dan diagihkan kepada waris mengikut faraid. Akaun bersama, pada pandangan mereka, hanyalah mekanisme pentadbiran — bukan bukti pemilikan mutlak.
Bank pula berada di tengah-tengah. Enggan melepaskan wang kepada mana-mana pihak sehingga mahkamah menentukan siapa pemilik sebenar. Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, ia bukan sekadar pertikaian duit. Ia menjadi pertembungan dua sistem undang-undang — sivil dan syariah.
Mahkamah menegaskan bahawa isu pewarisan dan pentadbiran harta pusaka kekal dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil. Walaupun Mahkamah Syariah boleh menentukan siapa waris melalui sijil faraid, pelaksanaan dan pengurusan sebenar harta pusaka tetap di bawah Mahkamah Sivil.
Namun, keadaan menjadi lebih rumit apabila Encik Bakri sendiri menyifatkan wang tersebut sebagai “pemberian ikhlas” daripada si mati. Dengan satu frasa itu sahaja, keseluruhan naratif kes berubah. Bila wang itu dikatakan hadiah atau hibah, mahkamah menegaskan bahawa kesahannya tidak boleh diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Ia mesti ditentukan oleh Mahkamah Syariah, kerana hibah adalah konsep undang-undang Islam.
Dalam masa yang sama, mahkamah membezakan isu kontrak bank. Tafsiran klausa kemandirian dan tanggungjawab bank kekal sebagai isu sivil. Bank ialah entiti korporat, bukan subjek hukum syarak. Maka bank tertakluk kepada undang-undang kontrak, bukan syariah.
Apa yang paling signifikan dalam kes ini ialah pendirian mahkamah terhadap sikap “bercakap dua hala”. Mahkamah menegaskan bahawa seseorang tidak boleh dalam satu masa bergantung kepada kontrak sivil untuk menuntut wang, dan dalam masa yang sama melabelkan wang itu sebagai hibah apabila dicabar. Bila ia dipanggil hibah, implikasinya besar — ia mesti memenuhi rukun dan syarat hibah menurut hukum Islam.
Akhirnya, Mahkamah Sivil menangguhkan prosiding dan merujuk isu hibah ke Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Hanya selepas Mahkamah Syariah memutuskan sama ada hibah itu sah atau tidak, barulah Mahkamah Sivil akan menentukan pemilik muktamad wang tersebut.
Kes ini menjadi peringatan keras kepada ramai orang. Akaun bersama memudahkan urusan, tetapi ia bukan perisai mutlak. Dokumen bank mungkin membenarkan pengeluaran wang, tetapi ia tidak semestinya menamatkan hak waris lain. Bila niat sebenar si mati tidak didokumenkan dengan betul, konflik hampir pasti berlaku.
Lesson learned: Dalam perancangan harta, niat tanpa struktur adalah jemputan kepada pertikaian. Dan dalam undang-undang pusaka, siapa yang boleh keluarkan duit tidak semestinya pemilik sebenar. Kalau anda bergantung kepada akaun bersama semata-mata, anda sedang mempertaruhkan ketenangan keluarga selepas pemergian anda.