Ramai pemilik perniagaan percaya bahawa jika mereka masukkan satu klausa dalam perjanjian, maka klausa itu automatik akan terpakai dan sah di sisi undang-undang. Tapi undang-undang tidak semudah itu. Ada prinsip dan sempadan yang perlu difahami. Kes yang saya ingin kongsikan ini adalah contoh terbaik bagaimana satu “klausa yang nampak profesional” akhirnya tidak dapat dikuatkuasakan di mahkamah — dan pihak yang menyaman akhirnya gagal.
Kisah ini melibatkan seorang doktor muda bernama Dr. Aiman, yang menyertai sebuah klinik swasta bernama MetroCare Medical Group sebagai rakan kongsi pada tahun 2006. Dalam perjanjian partnership mereka, terdapat satu klausa yang menyatakan bahawa jika mana-mana rakan kongsi keluar dari firma tersebut, mereka tidak boleh membuka atau menjalankan apa-apa amalan perubatan — sama ada sebagai pemilik, rakan kongsi atau pekerja — dalam lingkungan 15km dari mana-mana cawangan klinik tersebut, untuk tempoh 3 tahun.
Masa itu, tiada apa yang pelik. Semua setuju. Perjanjian pun ditandatangani. Tapi tidak lama kemudian, Dr. Aiman membuat keputusan untuk keluar dari partnership. Beliau berhenti kerja dan mula membuka kliniknya sendiri — yang malangnya terletak dalam radius 15km dari salah satu cawangan MetroCare. Klinik lama beliau naik angin dan terus memfailkan saman. Mereka tuntut injunksi dan ganti rugi, dengan alasan Dr. Aiman melanggar klausa yang sudah dipersetujui.
Pihak MetroCare berhujah bahawa klausa dalam perjanjian tersebut jelas — dan Dr. Aiman telah melanggarnya. Namun peguam Dr. Aiman pula berhujah bahawa klausa itu adalah bentuk “restraint of trade” yang dilarang oleh Seksyen 28 Akta Kontrak 1950.
Undang-undang kita menetapkan bahawa:
“Mana-mana perjanjian yang menghalang seseorang daripada menjalankan profesion atau perniagaan yang sah adalah tidak sah.”
Ada dua pengecualian sahaja:
- Jika seseorang jual goodwill bisnes; atau
- Jika perjanjian dibuat semasa atau dalam jangkaan pembubaran partnership.
Tapi dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa tiada pembubaran partnership berlaku. Klinik MetroCare masih wujud dan beroperasi. Yang keluar hanyalah seorang rakan kongsi — dan ini tidak mencukupi untuk memenuhi pengecualian di bawah undang-undang.
📉 Keputusan Mahkamah
Mahkamah memutuskan bahawa:
- Klausa larangan 15km selama 3 tahun itu adalah bentuk sekatan yang tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
- MetroCare gagal membuktikan bahawa perjanjian tersebut dibuat dalam jangkaan pembubaran partnership.
- Tuntutan MetroCare ditolak, dan mereka diarahkan membayar kos RM8,000 kepada Dr. Aiman.
Sebagai peguam, saya sentiasa ingatkan klien saya:
“Kontrak bukan sekadar ada tandatangan — ia mesti boleh berdiri di mahkamah.”
Kalau anda sedang fikir untuk buat partnership baru, atau nak semak semula dokumen bisnes yang sedia ada, jangan tunggu sampai ada krisis baru nak ambil tindakan.
Case : MILLENIUM MEDICARE SERVICES v NAGADEVAN A/L MAHALINGAN