Dibuang Kerja Kerana MC – Mahkamah Tegakkan Keadilan

Seorang lelaki bernama Farid sudah lebih sepuluh tahun bekerja sebagai juruteknik kilang elektronik di Pulau Pinang. Hidupnya sederhana. Gaji tak besar, tapi cukup untuk menyara isteri dan dua orang anak yang masih bersekolah. Dalam tempoh itu, dia jarang sekali bertukar kerja. Baginya, kilang itu adalah tempat rezekinya.

Namun, pada suatu hari, dunianya runtuh. Farid menerima satu notis panjang daripada majikan, penuh dengan tuduhan. Katanya, Farid kerap datang lambat malah pernah ponteng tanpa sebab. Ada juga ditulis kononnya dia gagal menyerahkan sijil cuti sakit, tak punch card, bahkan dituduh meninggalkan tempat kerja tanpa kebenaran. Kesemuanya berjumlah 11 tuduhan salah laku. Farid tergamam. Bagi dia, kebanyakan tuduhan itu hanyalah salah faham. Kadang-kadang dia lewat disebabkan sekatan jalan raya ketika PKP. Terdapat juga peristiwa di mana kad perakam waktu kilang rosak, dan cap jari tidak terbaca. Pernah juga dia keluar sebentar beli makanan kerana syarikat tidak menyediakan kantin untuk pekerja malam.

Farid cuba untuk memberikan penjelasan. Dia hadir ke siasatan dalaman, dan cuba terangkan satu per satu. Tapi panel siasatan dalaman seolah-olah sudah menghakimi Farid terlebih dahulu. Ruang untuk mempertahankan diri sangat sempit. Akhirnya, panel siasatan hanya mencatat bahawa dia bersalah. Surat buang kerja sampai ke tangannya tidak lama selepas itu. Semua pengorbanan lebih sepuluh tahun lenyap dalam sekelip mata.

Namun, Farid enggan tunduk. Dia membawa kes ini ke Mahkamah Perusahaan. Di situ, cerita sebenar terbongkar. Hakim meneliti setiap tuduhan. Banyak bukti majikan ternyata lemah. Keterangan pekerja bercanggah dengan saksi syarikat. Rekod WhatsApp menunjukkan dia memang telah maklumkan mengenai kecemasan. Sijil cuti sakit pun sebenarnya ada, cuma lewat diserahkan kerana masalah sistem. Tuduhan meninggalkan tempat kerja pula jelas tidak kukuh – Farid hanya keluar sekejap untuk mencari makan.

Akhirnya, hanya dua kesalahan kecil dapat dibuktikan – gagal punch card pada tarikh tertentu dan lewat memaklumkan cuti sakit sekali. Itu pun kali pertama berlaku. Bagi hakim, kesalahan kecil seperti itu tidak sepatutnya dihukum dengan hukuman paling berat. Majikan sepatutnya memberi amaran keras, bukannya terus menamatkan riwayat pekerjaan seseorang yang sudah berkhidmat lebih sedekad.

Keputusan mahkamah jelas: pemecatan itu tanpa sebab yang adil dan munasabah. Majikan diarahkan membayar pampasan puluhan ribu ringgit kepada Farid. Walaupun wang itu tidak mampu menggantikan harga maruah dan luka hati, sekurang-kurangnya kebenaran terbukti. Cerita Farid ini jadi pengajaran. Di tempat kerja, tidak semua tuduhan majikan itu “betul” secara automatik. Undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada majikan untuk membuktikan salah laku. Dan yang lebih penting, hukuman mesti setimpal. Hukuman mati tidak boleh dijatuhkan untuk kesalahan kecil.

Like this article?

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest

Leave a comment