Saya masih ingat hari pertama saya buka fail ini. Seorang jurutera muda datang ke pejabat saya—bergaya, profesional, tapi wajahnya penuh kecewa.
“Puan, saya tak pernah guna servis telco tu pun. Tapi nama saya dah masuk dalam sistem CTOS. Bila saya mohon loan kereta, bank tolak. Saya malu, saya rasa reputasi saya hancur.”
Begitulah mulanya kisah ini.
Tahun 2000
Tanpa pengetahuannya, satu saman difailkan terhadapnya di Mahkamah Majistret—menuntut hutang RM1,041.41 atas akaun telefon bimbit yang kononnya didaftarkan olehnya. Tapi hakikatnya, kad pengenalannya telah disalah guna.
Lebih menyedihkan lagi , saman itu disampaikan melalui iklan di akhbar sebagai ‘penyampaian gantian’. Satu dunia nampak nama dia. Satu dunia fikir dia berhutang. Tapi tak seorang pun tahu itu bukan dia.
Client kami membuat laporan polis dan melantik peguam untuk menulis surat kepada pihak telco dimana dia mahu pihak telco menarik balik saman dan membuat permohonan maaf secara rasmi
Apa respon mereka?
Mereka mahu tarik balik saman “tanpa kos, tanpa permohonan maaf” dan simpan hak untuk saman semula.
Klien saya tolak. Baginya, nama baik bukan benda main-main. Dia cuma minta keadilan—jangan biar nama dia rosak tanpa sebab. Akhirnya, saman ditarik balik dengan kos kepada plaintif. Tapi kesan dah berlaku.
Setahun selepas itu, Oktober 2001.
Dia mohon pinjaman sewa beli dari sebuah institusi kewangan. Tapi ditolak.
Sebab? Nama dia masih terpampang dalam sistem semakan kredit bank. Sistem itu dapat maklumat dari CTOS—yang pula ambil maklumat dari iklan saman yang pernah disiarkan dulu. Walaupun saman dah ditarik balik. Nama dia masih dianggap ‘bermasalah’.
Jadi kami bawa kes ini ke mahkamah. Kami mohon pengisytiharan bahawa perjanjian telefon itu tidak sah, dan bahawa beliau tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen berkaitan. Kami juga tuntut ganti rugi atas kerosakan reputasi dan kerugian kewangan yang dialaminya akibat kecuaian pihak telco.
Kami bentangkan semua bukti: surat menyurat, laporan polis, surat CTOS, bukti penolakan pinjaman, saksi-saksi yang memberi keterangan. Dan kali ini — mahkamah bersetuju.
Mahkamah mendapati bahawa pihak telco memang cuai. Mereka tahu saman itu salah, tapi mereka gagal mengambil langkah wajar untuk membersihkan nama klien saya dalam sistem kewangan dan institusi yang berkaitan. Mahkamah memutuskan bahawa klien saya layak menerima ganti rugi. Nama beliau dibersihkan secara rasmi. Kebenaran akhirnya ditegakkan.
Saya masih ingat wajahnya ketika keputusan dibacakan — tenang, tapi penuh kelegaan. Bukan kerana wang. Tapi kerana akhirnya, maruahnya dipulihkan.
Kes ini mengajar saya sesuatu yang saya pegang kuat sampai hari ini — bahawa dalam undang-undang, emosi semata-mata tak cukup untuk menang kes. Kalau kita nak tuntut keadilan, kita kena ada:
- bukti kecuaian,
- bukti kerugian ekonomi sebenar, dan
hubungan langsung antara kecuaian itu dan kesan buruk kepada hidup kita.
Dan yang paling penting, kita mesti berani bangun dan lawan — walaupun kita cuma orang biasa, dan pihak lawan itu syarikat besar.
Kepada anda yang pernah alami perkara sama — difitnah, disalah saman, atau nama anda rosak kerana kecuaian pihak lain — tolong jangan diam. Simpan semua bukti. Catat bila kerugian berlaku. Dapatkan nasihat undang-undang. Sebab undang-undang berpaksikan bukti. Bukan perasaan semata.
Kami mungkin ambil masa, mungkin kena hadap proses panjang. Tapi jika kita sabar dan berani, kita boleh menang.
Hari itu, klien saya bukan saja menang di mahkamah. Dia menang untuk dirinya sendiri — dan untuk maruah yang tak ternilai.
Nama baik kita, maruah kita. Jangan biar sesiapa calarkan tanpa kita lawan balik.
✍️ Liyana the Lawyer
Empowering you. Legally. Always.