Selepas pembedahan pertama, doktor datang senyum. Dalam laporan discharge tertulis: “patient has recovered well.” Pada saat itu, anak guam kami percaya semuanya sudah selesai. Dia lega, yakin bahawa kesakitan yang ditanggung selama ini sudah berakhir.
Namun, hakikatnya tidak begitu. Setahun kemudian, sakit perut yang sama datang semula. Bukan sakit biasa, tetapi sakit yang berlarutan, semakin perit, sehingga menjejaskan hidup sehari-hari. Rasa nyilu dan perit di bahagian kanan bawah perut membuatkan beliau akhirnya terpaksa mencari rawatan di hospital lain.
Di situlah rahsia terbongkar. Melalui pemeriksaan scan, doktor mengesahkan bahawa ketika pembedahan pertama dijalankan, appendix tidak dibuang sepenuhnya. Masih ada sisa yang tertinggal. Sisa itulah yang kini meradang, membawa risiko besar kepada kesihatan anak guam kami.
Akibatnya, beliau terpaksa melalui sekali lagi semua penderitaan itu.
Sekali lagi dimasukkan ke hospital.
Sekali lagi dibawa ke bilik bedah.
Sekali lagi menanggung kesakitan, trauma, risiko, dan kos rawatan tambahan.
Ini bukan sekadar “kesilapan kecil.” Ini adalah bentuk kecuaian perubatan — medical negligence. Bila seorang pesakit mempercayai doktor, dia menyerahkan seluruh nyawa dan tubuhnya kepada amanah dan kepakaran mereka. Bila amanah itu gagal, akibatnya ditanggung seumur hidup oleh pesakit, bukan oleh doktor.
Dalam kes sebegini, mahkamah perlu melihat dengan serius bahawa kegagalan melaksanakan pembedahan dengan teliti telah membawa kepada penderitaan berulang yang tidak sepatutnya berlaku. Kalau pembedahan pertama dibuat dengan betul, semua ini boleh dielakkan.
Kes ini mengingatkan kita semua bahawa dalam bidang perubatan, “silap kecil” bukan perkara remeh. Ia boleh jadi beban besar sepanjang hayat seorang pesakit. Itulah sebabnya undang-undang wujud — untuk memastikan keadilan ditegakkan, dan supaya kecuaian tidak dianggap normal.📌 Kerana cuai bukan perkara kecil. Bila nyawa pesakit dipertaruhkan, tanggungjawab itu wajib dijunjung.