United Overseas Bank (M) Bhd v Tan Chong Whatt & Anor [2025] 3 MLJ 161
Ayat ni kita selalu dengar masa nak tandatangan loan agreement. Waktu tu bisnes tengah “gah”, bank pula kata ini cuma “prosedur biasa” je. Semua nampak cantik dan terkawal. Jadi bila diminta tanda tangan personal guarantee, ramai yang anggap itu sekadar formaliti atas kertas.
Ada sebuah syarikat ambil pinjaman RM30 juta untuk beli 170 unit kedai, dan pengarah-pengarahnya pun setuju jadi guarantor (penjamin). Ditakdirkan syarikat tu lingkung dan kena gulung (winding up) pada 4 Disember 2015. Liquidator kemudiannya berjaya tebus hutang pokok tersebut dengan membayar RM30,499,923.60 setakat tarikh syarikat tu ditutup.
Dari sudut undang-undang, ada satu sekatan dalam Seksyen 8(2A) Akta Kebankrapan 1967 yang menghalang bank daripada menuntut bunga (faedah) daripada syarikat selepas tarikh tutup tu kalau bank gagal jual aset dalam masa 6 bulan. Jadi, para penjamin ni pun mungkin tarik nafas lega—ingat kes dah selesai sebab hutang pokok dah dibayar habis oleh liquidator.
Tapi sangkaan mereka meleset. Bank tetap heret mereka ke mahkamah untuk tuntut baki faedah berjuta-juta ringgit secara peribadi.
Kenapa Bank Boleh Buat Macam Tu? Sebab dalam dokumen jaminan tu, ada satu klausa “jerat”. Ia nyatakan yang walaupun korang penjamin kepada syarikat, tapi di antara korang dengan bank, korang sebenarnya dianggap dan dilayan sebagai peminjam utama (principal debtor). Maknanya, dalam kontrak dengan bank, korang berdiri sama tinggi dengan syarikat yang berhutang tu sendiri.
Mahkamah Rayuan tegaskan, Perlindungan Tak “Berjangkit”: Perlindungan yang ada pada syarikat selepas kena gulung (sekatan faedah tadi) TIDAK terpakai kepada penjamin.
Liabiliti Berasingan: Tanggungjawab korang sebagai penjamin adalah berasingan. Walaupun syarikat sudah tak perlu bayar faedah lepas tarikh tutup, korang sebagai penjamin yang juga “peminjam utama” masih kena “hadap” tuntutan sebanyak RM7,753,962.71 tu sorang-sorang.
Tiada Lagi Perlindungan Akta Kontrak: Sebab korang dah setuju jadi “principal debtor”, perlindungan biasa untuk penjamin di bawah Akta Kontrak 1950 pun sudah tak boleh pakai lagi.
Kes ni jadi peringatan keras yang konsep “liabiliti terhad” syarikat tu akan terbakar hangus bila korang tandatangan personal guarantee. Sebaik saja pen cecah kertas, tanggungjawab tu dah beralih daripada entiti syarikat terus ke bahu korang secara individu. Bank tak perlu tunggu syarikat kena saman dulu baru nak cari korang. Apa yang bank tak boleh kutip dari syarikat, mereka akan “pau” dari penjamin.
Mahkamah tak peduli apa yang korang faham masa tandatangan tu. Mahkamah cuma akan tengok apa yang tertulis dengan jelas dalam kontrak.
Pengajarannya:
Personal guarantee bukan sekadar dokumen tambahan atau prosedur biasa. Ia adalah komitmen peribadi yang boleh “telan” harta, simpanan, dan reputasi korang sampai licin. Sebelum turunkan tandatangan, fahami betul-betul setiap klausa, terutamanya kalau ada ayat yang sebut korang adalah “principal debtor”.
Dalam dunia bisnes, satu tandatangan boleh ubah status korang daripada seorang pengarah syarikat yang berjaya, kepada individu yang kena tanggung hutang faedah berjuta ringgit sampai ke lubang cacing.